Thursday, May 05, 2016
Jangan Keluarkan Perkataan "Bom" Di KLIA, KLIA2 - Polis
SEPANG : Polis Sepang mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan 
perkataan 'bom' walaupun sekadar bergurau ketika berada di Lapangan 
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang 
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) kerana ia merupakan kesalahan 
serius.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, 
peningkatan ketara kes yang melibatkan perkataan bom di KLIA dan klia2 
pada tahun ini adalah membimbangkan.
"Sepanjang tahun lepas, terdapat tujuh kes yang melibatkan individu yang
 mengeluarkan perkataan bom iaitu empat di KLIA dan tiga di klia2. Pada 
tahun ini sahaja bagi tempoh 1 Januari hingga Selasa (3 Mei) sudah ada 
lapan kes melibatkan perkataan bom dengan dua di KLIA dan enam di klia2.
"Ini merupakan peningkatan membimbangkan jadi saya ingin mengingatkan 
orang awam supaya tidak mengeluarkan perkataan bom ketika berada di 
kedua-dua lapangan terbang ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat
 Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, Rabu.
Mengeluarkan perkataan bom walaupun tiada ancaman tetap dianggap satu 
kesalahan serius, ia tidak boleh diucapkan sesuka hati, tambah Abdul 
Aziz.
Tambah beliau, individu yang mengeluarkan perkataan bom ketika di KLIA 
atau klia2 akan ditahan dan dibawa ke IPD Sepang, menyebabkan mereka 
terlepas peluang menaiki penerbangan ke destinasi yang dihajati.
"Ini akan menyebabkan mereka menanggung rugi apabila tidak dapat menaiki
 pesawat dan terpaksa membeli tiket yang baharu," katanya dan menambah 
kes terbaru dilaporkan di klia2 dua hari lalu.
Jelas Abdul Aziz mengikut Kod 92 Aiport Emergency Plan, mengeluarkan 
perkataan bom adalah dikategorikan sebagai salah satu unsur ancaman dan 
ia merupakan satu kesalahan serius walaupun dengan niat bergurau atau 
menunjukkan rasa tidak puas hati.
Katanya, individu yang ditangkap kerana mengeluarkan perkataan bom di 
lapangan terbang boleh dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan 
kerana menakutkan secara jenayah.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksima penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jelas Abdul Aziz, kesemua 15 individu yang ditahan di KLIA dan klia2 
hingga Selasa kerana menggunakan perkataan bom ketika di lapangan 
terbang atau sebelum pesawat berlepas sudahpun didakwa di Mahkamah 
Majistret Sepang.
"Daripada 15 individu yang ditahan itu hanya dua warga asing, selebihnya adalah warganegara Malaysia.
"Kebanyakan mereka ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings 
Berhad ketika berada di bahagian pemeriksaan bagasi, manakala seorang 
warga asing ditahan di dalam pesawat sebelum penerbangan berlepas," 
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment