Tuesday, April 26, 2016
Hanya Yang Di-Pertuan Agong Berkuasa Beri Pengampunan Kepada Anwar
KUALA LUMPUR : Hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi 
pengampunan kepada bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
 dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah bagi pertuduhan meliwat.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dalam hujahannya berkata menurut 
Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan, keputusan yang dibuat oleh Yang 
di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar dan disemak oleh mana-mana 
mahkamah.
Artikel 42 menyatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk 
memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung segala kesalahan yang 
dibicarakan oleh mahkamah tentera dan kesalahan dilakukan di dalam 
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Suzana memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas berhujah dalam 
bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan Anwar dan anggota 
keluarganya bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung 
keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen pengampunannya atas 
sabitan meliwat.
Kes itu didengar di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin pada Selasa.
Suzana mewakili Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Peguam N. Surendran pula berkata pihaknya berhujah bahawa persoalan sama
 ada keputusan Lembaga Pengampunan, yang tidak memberikan pengampunan 
kepada Anwar boleh disemak atau sebaliknya, sepatutnya dirujuk ke 
Mahkamah Persekutuan.
Katanya mahkamah menetapkan 17 Mei untuk keputusan bantahan awal Jabatan
 Peguam Negara terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.
Dalam prosiding pada Selasa, Anwar mewakili dirinya sendiri manakala 
Surendran dan peguam Latheefa Koya bertindak bagi pihak isteri Anwar, 
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul
 Izzah dan Nurul Nuha.
Pada 24 Jun 2015, Anwar dan anggota keluarganya memohon perintah untuk 
membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac 2015, dan mendesak
 lembaga itu agar menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi 
pengampunan dan membebaskan Anwar, 68.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai 
Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015, mengekalkan 
sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari
 Azlan pada 2008.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment