Thursday, April 28, 2016
PAS Bimbang AMANAH ‘Curi’ Undi
KUCHING : PAS mengakui pertembungan di lima kerusi dengan Parti Amanah 
Negara (Amanah) akan memberi kesan kepada jumlah undi yang bakal 
diterima pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei depan.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, 
pihaknya bersifat realistik dalam membuat bacaan awal mengenai tahap 
penerimaan pengundi terhadap calon yang diberi tanggungjawab bertanding 
di sesuatu kawasan.
“Saya akui kehadiran Amanah di kerusi yang ditandingi PAS sedikit sebanyak akan beri kesan kepada sokongan rakyat.
“Walaupun kita menjangka berlaku pertambahan undi, tapi tidak mustahil 
sokongan yang diperolehi PAS sebelum ini akan ditarik Amanah.
“Namun hasil tinjauan sejak beberapa tahun sebelum ini, PAS akhirnya 
membuat keputusan bertanding di kawasan yang boleh memberi tentangan 
kepada lawan,” katanya ketika ditemui di sini.
Pilihan raya kali ini menyaksikan PAS akan bertembung dengan Amanah di 
lima kerusi majoriti Melayu dan Melanau iaitu Samariang, Muara Tuang, 
Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.
Selain PAS dan Amanah, dua sekutu pembangkang iaitu DAP dan Parti 
Keadilan Rakyat (PKR) turut berhadapan konflik pertindihan kerusi di 
enam kawasan iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan 
Mambong.
Secara keseluruhannya PAS akan bertanding di 11 kerusi, manakala Amanah 
yang membentuk kerjasama pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR 
disahkan bertanding di 13 kerusi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang PAS untuk menang di 
kerusi majoriti bukan Islam seperti Pujut, Takiyuddin berkata, calonnya 
yang juga Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee cukup terkenal di 
kalangan pengundi setempat.
“Ini adalah satu contoh yang menunjukkan bahawa PAS sudah mula diterima 
di kalangan orang bukan Islam. Mereka cukup terbuka menerima kehadiran 
wakil PAS ke kawasan mereka.
“Selain itu pengundi juga harus ingat bahawa PAS masuk bertanding di 
Sarawak bagi memberi alternatif kepada parti pemerintah,” katanya. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment