
Thursday, April 28, 2016
Tiada Sekatan Debat Antara Tokoh Agama – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak akan menyekat sebarang 
program debat berkaitan agama selagi ia mematuhi undang-undang dan 
peraturan, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi 
Dusuki berkata perdebatan mengenai sebarang perbezaan pendapat perlu 
dibuat dengan tujuan mencari kebenaran.
“Di peringkat kerajaan, tiada sebarang sekatan selagi dalam lingkungan undang-undang dan peraturan.
“(Tetapi) kita tidak mahu ia mencetuskan mainan emosi dan memutuskan 
silaturrahim sesama umat Islam di negara ini,” katanya menjawab soalan 
tambahan Senator Abdul Shukor Mohd Sultan yang meminta penjelasan sama 
ada trend berdebat antara tokoh agama yang berbeza pendapat merupakan 
sesuatu yang sihat.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata antara langkah kerajaan untuk 
memastikan perpaduan ummah terus diperkukuhkan adalah melalui penubuhan 
Institut Wasatiyyah Malaysia dan memperkenalkan konsep wasatiyyah yang 
bermaksud sederhana, pertengahan dan berimbang sebagai pemangkin kepada 
Gagasan 1Malaysia.
Selain itu, kerajaan turut memperkasakan peranan Badan Perundingan 
Islam yang ditubuhkan pada 1982 sebagai badan pemikir dan penasihat 
kepada kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan dan pembangunan negara 
terutama dalam hal ehwal Islam. 
“Dalam usaha meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam ke arah 
mewujudkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam, kerajaan 
telah memperkemaskan sistem pengurusan dasar, fatwa, garis panduan dan 
sumber rujukan berkaitan hal ehwal Islam sebagai panduan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment