
Thursday, April 28, 2016
Jangan Letak Bahan Kempen Di Tiang Elektrik – SEB

KUCHING : Sarawak Energy Bhd (SEB) menasihatkan 
petugas pilihan raya supaya berhati-hati apabila meletakkan bahan-bahan 
kempen di tiang elektrik kerana ia boleh menyebabkan gangguan bekalan 
elektrik dan kecederaan.
“Kami menerima maklum balas daripada pasukan teknikal bahawa tiang 
elektrik digunakan untuk menggantung bahan-bahan kempen,” kata Naib 
Presiden Kanan (Peruncitan) SEB, Lau Kim Swee dalam kenyataan di sini 
hari ini.
Beliau berkata petugas-petugas pilihan raya berdepan risiko kejutan 
elektrik jika mereka menghampiri kawasan talian penghantaran elektrik 
kerana ia boleh menyebabkan kecederaan serius, atau lebih buruk lagi 
boleh membawa maut. 
Katanya kakitangan syarikat pembekal tenaga elektrik milik kerajaan 
Sarawak itu akan menurunkan kain rentang dan bunting tanpa memberi 
sebarang notis jika tempat diletakkan bahan-bahan kempen itu dianggap 
berbahaya kepada orang ramai.
“Berada berhampiran punca-punca elektrik juga boleh mendatangkan 
bahaya, dan ia juga akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada 
pelanggan,” katanya.
Lau berkata papan iklan tidak seharusnya diletakkan berhampiran 
mana-mana talian penghantaran SEB dan pencawang elektrik, kerana bimbang
 akan bersentuhan  semasa angin kencang.
“Kita perlu mengambil langkah-langkah ini dengan begitu serius,” katanya.
Beliau berkata SEB sentiasa memberi peringatan melalui media cetak, 
radio, pameran dan risalah, di samping menganjurkan ceramah kesedaran 
keselamatan di sekolah-sekolah bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya
 melakukan aktiviti berhampiran infrastruktur elektrik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment