Wednesday, April 27, 2016
Bancian Tunjukkan 80 Peratus Pengguna Lebih Suka Guna UBER Dan Grabcar Daripada Teksi
Bancian secara on-line yang dibuat oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam 
Darat (SPAD) sejak tahun lalu mendapati 80 peratus orang awam lebih suka
 menggunakan perkhidmatan UBER dan GrabCar, berbanding dengan teksi.
Antara sebab utama UBER dan GrabCar menjadi pilihan kerana ia senang 
diakses, manakala keengganan mereka menaiki teksi disebabkan sikap 
sesetengah pemandu yang kurang sopan, keengganan menggunakan meter, 
meletakkan harga sesuka hati dengan keadaan teksi yang berbau
Fakta berkenaan didedahkan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Dr Syed Hamid 
Albar berkata demikian pada Syarahan Umum Akademi SPAD (PLS) bertajuk – 
Transformasi Pengangkutan Awam Darat di Malaysia – Sejarah, Aspirasi dan
 Cabaran yang berlangsung di Shah Alam, Isnin.
Sehubungan itu Syed Hamid menyeru pemandu-pemandu teksi mengubah sikap 
dan memperbaiki mutu perkhidmatan di samping memastikan keadaan teksi 
selesa dan tidak berbau.
Pada sesi soal jawab syarahan berkenaan, seorang pemandu teksi 
melahirkan rasa tidak puashati dengan UBER yang didakwanya punca 
pendapatan mereka terjejas sehingga dia mencadangkan perkhidmatan teksi 
diharamkan di Malaysia dan digantikan dengan UBER.
“Janganlah marah dengan emosi tidak terkawal sampaikan UBER punya pasal 
ada yang minta perkhidmatan teksi diharamkan pula. Jangan berputus asa, 
sebaliknya lawanlah UBER secara sihat. Tunjukkan anda lebih baik dan 
berkualiti,” katanya.
Pada sidang media selepas itu, Syed Hamid berkata SPAD akan mengemukakan
 hasil bancian itu serta kajian mengenai cadangan sama ada untuk 
membenarkan perkhidmatan UBER dan Grabcar atau tidak kepada kerajaan 
tidak lama lagi.
“Baru-baru ini saya menemui Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan 
Multimedia dan kami telah membincangankan beberapa isu kerana aplikasi 
telefon dan atas talian adalah di bawah bidang kuasa mereka.
“Di samping itu, terdapat beberapa isu mengenai perkhidmatan UBER dan 
GrabCar di mana ia tidak memberi jaminan keselamatan kepada penumpang. 
UBER juga tidak mempunyai maklumat pemandu memandangkan ramai daripada 
mereka memandu secara sambilan dan tidak berdaftar dengan kita,” 
katanya.
“Bagi SPAD, kami mesti memastikan industri teksi terus berkembang dan 
tidak diketepikan daripada sistem pengangkutan awam. Sungguhpun begitu 
ada beberapa isu dalam industri teksi yang perlu kita selesaikan, 
antaranya ialah pendapatan sesetengah golongan yang di bawah garis 
kemiskinan.
“Tetapi pada masa yang sama, pemandu teksi di negara ini mesti 
meningkatkan standard supaya mereka dapat menawarkan perkhidmatan yang 
lebih baik dan penumpang merasa selesa.
“Pada ketika ini kita lihat situasinya tidak begitu bagus. Ia perlu 
diubah. SPAD sudah menamatkan siri makmal mengenai industri teksi 
bersama pihak-pihak berkepentingan dan laporannya sudah siap dan akan 
dikemukan kepada kerajaan tidak lama lagi,” katanya. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment