Tuesday, April 26, 2016
Tunggakan Gaji : CEO Rayani Air Diberi Tempoh Kurang 24 Jam
PETALING JAYA : Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran diberi tempoh kurang
 24 jam untuk melunaskan tunggakan gaji bagi Mac untuk kira-kira 400 
pekerjanya yang berjumlah RM1.5 juta.
Ia turut membabitkan tuntutan terhadap Ravi yang juga Ketua Pegawai 
Eksekutif (CEO) Rayani Air bagi potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 
(KWSP).
Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan yang mewakili sejumlah kakitangan syarikat 
itu berkata, beliau akan menunggu sehingga tengah malam Selasa untuk 
Ravi memenuhi tuntutan berkenaan.
“Kita beri tempoh sehingga hari ini untuk Ravi membayar gaji pekerjanya termasuk pemotongan KWSP. 
“Kita berharap Ravi mengambil perhatian dengan sewajarnya dan 
bertanggungjawab terhadap semua kakitangannya yang terkesan akibat gaji 
tertunggak,” katanya kepada media.
Jumaat lalu, Zulkalnain bersama sejumlah kakitangan Rayani Air membuat 
tuntutan mengenai gaji tertunggak dan pemotongan KWSP, serta meminta 
Ravi melepaskan majoriti saham kepada pelabur baharu untuk menyelamatkan
 syarikat itu.
Zulkalnain berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ravi sekiranya tunggakan itu gagal dilaksanakan.
Bagaimanapun Zulkalnain berkata, terdapat pertimbangan sebelum mengambil
 tindakan undang-undang terhadap Ravi kerana pemilik syarikat 
penerbangan itu mungkin masih berunding dengan pelabur untuk mendapatkan
 dana, antara lain bagi melunaskan tunggakan gaji pekerja. 
“Kalau Ravi dengan rendah diri sedia melepaskan jawatan CEO kepada saya,
 kenapa tidak dia merendah diri datang berjumpa kami untuk menyelesaikan
 kemelut ini?
“Ravi sebagai pemilik dan CEO Rayani Air perlu membuang ego dia ketika 
ini. Dia perlu bertanggungjawab dan kami sedia mengadakan perbincangan 
bersama,” tegas Zulkalnain.
Pada Isnin, media melaporkan bahawa Ravi tampil menawarkan 
jawatan CEO yang disandangnya kepada Zulkalnain bagi mengambil alih 
pengurusan operasi penerbangan patuh syariah itu.
Zulkalnain bagaimanapun menolak jawatan itu kerana berpendapat bahawa 
adalah lebih baik Ravi terus kekal berada dalam Rayani Air untuk 
memajukan syarikat itu bersama kakitangannya walaupun hanya sebagai 
pemegang minoriti saham.
Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu merupakan syarikat
 penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh 
syariah.
Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan 
pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga 
bulan. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment