Tuesday, April 26, 2016
PRN Sarawak: Pertembungan PKR-DAP Umpama Jenaka Politik
Pertembungan sesama sendiri antara komponen pakatan pembangkang 
membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sememangnya sudah 
diduga.
Namun perebutan sehingga enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 
dua parti politik yang berpusat di Semenanjung itu dilihat agak luar 
biasa terutamanya di kalangan pengundi.
Bagi orang politik khususnya di pihak pembangkang sendiri, pertindihan 
kerusi yang ditandingi PKR dan DAP di Batu Kitang, Mulu, Murum, 
Simanggang, Ngemah dan Mambong adalah serius dan mungkin sukar 
dimaafkan.
Tapi lain pula penerimaannya di kalangan pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 7 Mei depan.
Sebilangan daripada mereka melihat perkembangan berkenaan sebagai 
‘jenaka politik’ yang pastinya akan memeriahkan lagi kempen Pilihan Raya
 Negeri (PRN) Sarawak yang ke-11 kali ini.
“Ini baru betul-betul badak. Badak sumbu kalau sudah mengamuk, semua benda dirempuhnya.
“Apatah lagi burung ‘Ubah’,” kata seorang penduduk tempatan kepada 
rakan-rakannya merujuk kepada badak sumbu bewarna biru yang menjadi 
maskot PKR.
Sementara burung ‘Ubah’ yang dimaksudkan ialah burung enggang yang mewakili wajah DAP sejak pilihan raya 2011 yang lalu.
Perbualan sekumpulan lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40an di kedai
 kopi Kampung Boyan di Kuching itu jelas kedengaran berkisar mengenai 
perbalahan yang berlaku antara PKR dan DAP.
Bagi penganalisis politik, Prof Madya Andrew Aeria dari Universiti 
Malaysia Sarawak (Unimas), pembangkang yang membawa nama Pakatan Harapan
 telah mencalarkan imej mereka sendiri di kalangan pengundi di Sawarak.
Katanya, tindakan dua parti politik tersebut ternyata mengecewakan 
pengundi yang berkemungkinan menaruh harapan kepada mereka sebagai 
alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
“Perkembangan ini malang bagi rakyat Sarawak. Pemimpin pembangkang 
nampaknya sentiasa gagal dalam menyelesaikan isu membabitkan kerjasama 
politik.
“Pemimpin mereka gagal untuk berkompromi antara satu sama lain, tak mahu
 mengalah demi sebuah kerjasama politik,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Aeria, sikap ego dan dendam pemimpin pembangkang juga menjadi punca kepada berlakunya pertembungan sesama sendiri.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik dari Unimas, Prof Madya
 Dr Ahi Sarok turut melahirkan pandangan senada berhubung pertembungan 
antara PKR dan DAP di enam kerusi.
Jelas beliau, sikap pimpinan PKR yang gagal mengotakan janji bersama DAP
 bakal merugikan pakatan pembangkang secara keseluruhannya.
“Sikap enggan bertolak ansur yang ditunjukkan PKR amat memalukan. Mereka gagal memahami sentimen dan kehendak rakyat.
“Sebaliknya mereka hanya pentingkan kuasa politik,” katanya.
Selain itu kecuaian PKR juga akhirnya menyumbang kepada dua kemenangan 
awal BN apabila calon mereka, Alex Lihan di DUN Bukit Sari tidak muncul 
pada hari penamaan calon tanpa sebarang alasan.
Manakala di DUN Bukit Kota, tiada mana-mana wakil pembangkang tampil menyerahkan borang pencalonan.
Dengan perkembangan itu calon BN, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan
 Dr Abdul Rahman Ismail akhirnya mengekalkan kedua-dua kerusi yang 
disandang sebelum ini.
PKR sekali lagi melakukan kesilapan apabila membiarkan calon BN, Dr 
Abdul Rahman Junaidi bersaing satu lawan satu dengan PAS yang diwakili 
Zainal Abidin yet.
Ia berikutan pencalonan wakil PKR, Morni Samsudin di DUN Pantai Damai 
terbatal disebabkan beliau muflis kerana menjadi penjamin pinjaman. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment