Wednesday, April 27, 2016
PM Kesal Tindakan Pihak Racuni Rakyat, Burukkan Kerajaan
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak berasa amat kesal dengan tindakan 
segelintir pihak yang meracuni, menghasut dan mempengaruhi fikiran 
rakyat dengan cara memburuk-burukkan negara serta cuba menjatuhkan 
pemimpin secara tidak demokratik. Perdana Menteri menegaskan apa yang 
dinikmati negara hari ini adalah hasil mahsul perjuangan dan kegigihan 
kerajaan sejak berdekad-dekad lepas hinggalah ke era Dasar Transformasi 
Nasional.
"Berkaitan perkara ini juga, terlebih kita berasa sedih dan sayang 
seribu kali sayang, yang turut terheret dalam kancah ini, adalah 
bekas-bekas para pemimpin dan negarawan. "Tidak cukup dengan itu, hingga
 mereka sanggup memperlekeh negara sendiri dan meminta campur tangan 
kuasa asing. 
Sedangkan satu masa ketika dahulu, orang itulah yang 
menyebut biar Malaysia ini ditentukan rupa dan bentuknya dengan acuan 
kita sendiri," katanya. Beliau berkata demikian berucap melancarkan 
Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 yang dikeluarkan 
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Angkasapuri di 
sini, malam ini.
Pelancaran itu disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia.
 Meskipun begitu, katanya, beliau tetap memilih untuk berjiwa besar dan 
memimpin kerajaan, tetap berdiri tegak, memandang ke hadapan dan mara 
selangkah demi menjayakan rencana kemajuan negara. 
Najib yang juga 
Menteri Kewangan menjelaskan sejak mengambil alih jawatan Perdana 
Menteri, beliau sudah membuat ketetapan bahawa kerajaan perlu bergerak 
ke hadapan untuk membina negara yang mempunyai ekonomi yang berdaya 
tahan, mapan dan inklusif untuk rakyat bertunjangkan falsafah 1Malaysia,
 Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. "Maka yang demikian, berilah
 peluang dan waktu kepada kerajaan yang ada pada hari ini untuk mewajah 
dan mewarnakan masa depan, menurut rancangan yang kita telah tentu dan 
sudah tetapkan.
"Apa yang penting, jangan sesekali kita alpa, kalau kita leka dan 
termakan dengan angkara-angkara serta anasir-anasir negatif, semuanya 
boleh lenyap dan punah dalam sekelip pejaman mata," katanya. 
Perdana 
Menteri berkata, dengan berpaut kepada prinsip tawaduk, kerendahan hati 
lagi bertawakal, beliau bersama-sama timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad 
Zahid Hamidi serta anggota jemaah pentadbiran yang lain, tidak mungkin 
dapat melakukan apa yang ada hari ini tanpa sokongan, dokongan dan 
kefahaman rakyat. Lantaran itu, katanya, apa yang paling baik adalah 
rakyat dan kerajaan harus saling dekat mendekati, damping-mendampingi, 
dalam menaruh yakin serta percaya terhadap komitmen juga 
inisiatif-inisiatif kerajaan selama ini.
Najib mengingatkan sesetengah pihak bahawa sebagai sebuah negara yang 
berdaulat, merdeka dan berundang-undang, mereka tidak boleh berbuat 
sesuka hati dengan mengajak rakyat bertindak di luar batas-batas 
undang-undang, kedaulatan undang-undang dan apa yang telah dimaktubkan 
dalam perlembagaan. 
"Ini termasuklah dengan mengadakan 
deklarasi-deklarasi dan membuat referendum dengan tujuan tidak baik di 
mana semua ini salah di sisi undang-undang," katanya. Dalam hal itu, 
katanya, kerajaan mengambil jalan tidak mahu terganggu oleh hal-hal yang
 membuang masa serta tidak membawa apa-apa faedah itu dan akan terus 
menjalankan amanah lebih besar yang dimandatkan iaitu menumpukan sepenuh
 jiwa memacu serta menjulang Malaysia ke persada yang dijanji-janjikan. 
"Inilah sikap, inilah pendirian, inilah tekad kerajaan Barisan Nasional 
sejak dulu lagi, ..yang bersungguh-sungguh menyemai benih-benih subur, 
di mana sekarang, hari demi hari, makin tumbuh dengan buah-buah kemajuan
 yang segar dan ranum bagi dinikmati oleh rakyat seluruhnya," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment