
Tuesday, April 26, 2016
Kerajaan Negeri Perak Kesal Insiden Ceroboh Kuil

IPOH : Kerajaan negeri Perak kesal dengan kejadian 
menceroboh dan memecahkan patung di sebuah kuil di Jalan Hospital di 
sini, Ahad lepas.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kejadian 
itu tidak harus dibiarkan berlaku kerana ia boleh menimbulkan masalah 
termasuk dari segi hubungan agama dan kaum.
“Kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak yang sengaja 
bertindak mencetuskan huru-hara dengan perbuatan sebegini. Kita juga 
tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang mengambil kesempatan dengan 
insiden ini untuk mencetuskan perbalahan dan pergaduhan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis 
menandatangani memorandum perjanjian kesepakatan akademik antara Kolej 
Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dan London School of 
Business and Management dengan kerjasama Universiti Northampton, 
semalam.
Ia ditandatangani oleh Rektor KUISAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi dan
 Pengarah London School of Business and Management, Robert Hartley. 
Zambry turut meminta semua pihak supaya bertenang dan memberi 
kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi 
menyelesaikan masalah itu.
“Kita perlu bekerjasama supaya perkara sebegini tidak dimainkan 
berikutan ia merupakan satu isu yang sensitif berkaitan agama. Perbuatan
 mengganggu gugat tempat beribadat sesuatu agama tentunya akan 
menimbulkan bahang ketegangan sekiranya tidak dikendali dengan 
sebaik-baiknya,” kata beliau.
Pada Ahad lepas, seorang suspek lelaki berumur 29 tahun telah masuk 
ke kawasan kuil berkenaan dengan sebuah kereta sebelum memecahkan patung
 di rumah ibadat itu kira-kira 5.10 petang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment