Wednesday, April 27, 2016
Muhammad Ibrahim Dilantik Gabenor Bank Negara Mulai 1 Mei
KUALA LUMPUR : Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Bank 
Negara Malaysia (BNM) untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei 2016, kata 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pelantikan beliau telah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri. 
"Saya yakin di bawah kepimpinan Muhammad, BNM akan meneruskan 
sumbangannya dalam membantu kerajaan serta memberi nasihat dan pandangan
 bagi memacu perkembangan ekonomi negara," kata Najib dalam satu 
kenyataan, Rabu.
Perdana Menteri juga yakin gabenor baharu itu dapat mentadbir dasar 
monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk 
meneruskan usaha bank pusat membangunkan industri kewangan dengan 
sewajarnya. 
Muhammad yang menyertai bank pusat itu pada 1984 dan dilantik sebagai 
Timbalan Gabenor pada Jun 2010, akan memegang jawatan tersebut bagi 
tempoh lima tahun, berkuat kuasa 1 Mei, 2016. 
Beliau memiliki Ijazah Sarjana daripada Harvard University, Ijazah 
Perakaunan daripada Universiti Malaya dan diploma lepasan ijazah dalam 
Perbankan dan Kewangan Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa 
Malaysia.  
Selama 32 tahun bersama dengan bank pusat, beliau berkhidmat dalam 
banyak bahagian termasuk peraturan dan pengawalseliaan bank, perancangan
 strategik, sistem pembayaran, insurans, perbankan luar pesisir, 
perbendaharaan dan pasaran kewangan.   
Sebelum itu Muhammad juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah 
Urusan Danamodal Nasional Bhd dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti.  
Ketika ini beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Profesional 
Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Pengarah Agensi 
Akreditasi Kewangan, Pengarah Bebas Petronas dan ahli lembaga Kumpulan 
Wang Persaraan.
Jawatan terakhir Muhammad adalah sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, disandang sejak 2010. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment