 
 Tuesday, April 26, 2016
Jangan Cuba Tangguk Di Air Keruh Perkembangan Politik Terengganu – Johari
KUALA LUMPUR : Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Johari 
Abu Bakar berharap mana-mana pihak agar tidak cuba menangguk di air 
keruh berhubung dengan perkembangan terkini di negeri itu khususnya soal
 politik.
Menurut beliau janganlah ada mana-mana pihak cuba mengambil 
kesempatan termasuk mengeruhkan lagi suasana kerana apa yang penting 
hari ini adalah perjalanan kerajaan negeri untuk kepentingan semua 
pihak.
 
 
“Kita
 percaya semestinya ada pihak-pihak tertentu yang cuba memainkan 
pelbagai berita yang mengelirukan dan juga macam-macam yang kita dengar.
 Jangan timbulkan pelbagai spekulasi yang tidak sepatutnya.
“Apa yang berlaku janganlah ditokok tambah dengan mengaitkan parti 
politik dan sebagainya lagi. Kita hanya mahu sebuah kerajaan negeri yang
 stabil untuk manfaat bersama,“ katanya kepada media, di sini, 
hari ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan 
Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat berhubung krisis kepimpinan yang
 berlaku di negeri itu.
Justeru, Perdana Menteri berharap tidak ada mana-mana pihak yang 
membuat spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd 
Rahman.
“Selepas majlis menghadap itu saya akan keluarkan kenyataan. Saya berharap kita tidak akan membuat spekulasi yang bukan-bukan.
“Kerajaan Terengganu akan berjalan seperti biasa. Apa-apa 
perkembangannya akan saya maklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita 
di Kuching, semalam.
Johari yang juga Ketua Pemuda Hulu Terengganu seterusnya menambah 
biarlah pucuk pimpinan parti mengambil segala yang perlu dalam perkara 
terbabit adn buat masa ini masing-masing tumpulah kepada tanggungjawab 
yang ada di depan mata.
Katanya lagi tidak perlulah menjadi mereka yang cuba mengambil 
kesempatan terhadap apa yang berlaku itu kerana dikhuatiri boleh 
menimbulkan pelbagai persepsi dan perkara yang tidak sepatutnya.
“Harapan kita begitulah…jangan ada mana-mana pihak sekalipun cuba 
ambil kesempatan supaya apa yang berlaku hari ini menemui jalan 
penyelesaian yang sebaiknya demi kepentingan dan manfaat bersama,“ 
katanya.
Dalam perkembangan lain sempena hari keputeraan Sultan Terengganu, 
Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud
 Al-Muktafi Billah Shah, beliau merafak sembah setinggi-tinggi tahniah 
dan ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, 
Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud
 Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-pertuan bagi negeri 
Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya sempena Hari 
Keputeraan Baginda Tuanku ke-54. Semoga Allah lanjutkan usia dan 
memberkati pemerintahan Tuanku.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment