
Tuesday, April 26, 2016
Dr. Mahathir Semakin Terdesak Tagih Simpati

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad 
kini dalam keadaan terdesak apabila beliau tidak lagi mendapat sokongan 
daripada UMNO.
Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin 
Tengku Ahmad berkata, Dr. Mahathir terpaksa meninggalkan UMNO dan 
menagih simpati pakatan pembangkang melalui Penasihat DAP, Lim Kit 
Siang.
Menurut beliau, ahli-ahli UMNO menganggap tindakan Dr. Mahathir cuba 
menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata bagi
 membuka laluan untuk anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai keterlaluan.
“Begitu juga dengan pembohongan Dr. Mahathir kononnya RM42 bilion hilang daripada akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuktikan 
tindakan Dr. Mahathir menggunakan isu 1MDB untuk menyerang Perdana 
Menteri adalah tidak berasas,” katanya dalam kenyataan melalui laman 
Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tengku Sariffuddin menambah, Dr. Mahathir sepatutnya membiarkan 
anaknya berdikari dalam politik memandangkan Mukhriz mendakwa beliau 
menerima sokongan 80 peratus ahli UMNO.
Beliau turut menempelak Dr. Mahathir yang hanya tahu menyalahkan 
Perdana Menteri di atas kegagalan Muhkriz memenangi kerusi Naib Presiden
 UMNO tiga tahun lalu serta penyingkiran anaknya daripada jawatan 
Menteri Besar Kedah.
“Sekiranya benar Mukhriz mendapat sokongan 80 peratus ahli UMNO, 
sudah tentu beliau kini menjadi Naib Presiden UMNO atau masih bergelar 
Menteri Besar Kedah,” jelasnya.
Tengku Sariffuddin berkata, apa yang Dr. Mahathir perlu lakukan 
adalah mengumumkan calon-calon bagi jawatan Perdana Menteri dan Timbalan
 Perdana Menteri.
“Bagaimanakah seorang pemimpin yang membuat segala keputusan sendiri 
boleh mengelak daripada menjawab persoalan penting ini?,” ujarnya.
Menurut beliau, Dr. Mahathir tidak boleh menyalahkan rakyat yang 
mengaitkan rancangannya menjatuhkan Perdana Menteri dengan usaha membuka
 laluan untuk Mukhriz selagi persoalan itu belum dijawab.
Pada masa sama, Tengku Sarifuddin menjelaskan, Najib akan terus 
memberi tumpuan terhadap isu-isu yang penting di negara ini khususnya 
memerangi ancaman keganasan serta melaksanakan rancangan ekonominya 
untuk rakyat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment