Thursday, April 28, 2016
Ini Nak Jadi Sultan !!!!! Datu Agbimuddin Kiram Mahu Jadi 'Sultan Sabah'
KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini diberitahu 
bahawa ketua penceroboh Lahad Datu, Datu Agbimuddin Kiram mahu menjadi 
'Sultan Sabah' sekiranya apa yang dikenali sebagai kesultanan Sulu 
berjaya menuntut negeri itu daripada Malaysia.
Warga Filipina, Salib Akhmad Emali, 63, yang dibicarakan dalam kes 
pencerobohan pada 2013 itu, berkata Agbimuddin selalu berbalah dengan 
abangnya, Esmail Kiram, mengenai tuntutan terhadap Sabah.
"Saya dengar nama sahaja (Agbimuddin). Orang-orang ada bercakap mengenai dia.
"Setelah saya ada dalam mahkamah ini, baru saya tahu siapa dia," katanya
 dalam bahasa Suluk, yang diterjemahkan jurubahasa mahkamah.
Salib Akhmad membela diri terhadap tuduhan menganggotai sebuah kumpulan 
pengganas dan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong 
dalam pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin pada 
pemeriksaan balas, tertuduh berkata, dia tidak pernah terlibat dengan 
kegiatan mencari anggota untuk Royal Sulu Force (Tentera Diraja Sulu) di
 Sabah sebagai persiapan untuk menguasai negeri itu sekiranya rundingan 
mengenai tuntutan tersebut mengalami kegagalan.
Salib Akhmad juga berkata, dia tidak pernah mengenali orang lain yang 
disebut sebagai Sultan Sulu, kecuali Esmail, yang ditemuinya pada 2012.
Seramai 13 rakyat Filipina dan seorang rakyat tempatan membela diri di 
hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah di sini terhadap 
pelbagai pertuduhan yang didakwa dilakukan mereka di antara 12 Feb dan 
10 April 2013.
Sebahagian daripada mereka menghadapi satu hingga pelbagai tuduhan 
menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang 
terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Sebahagian yang lain pula dituduh secara sukarela melindungi individu 
yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas atau 
mendapatkan dan memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.
Perbicaran bersambung esok...
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment