
Thursday, April 28, 2016
Adenan Mampu Laksana Banyak Lagi Inisiatif Jika Dapat Mandat Besar – Najib

KUCHING : Tan Sri Adenan Satem telah melaksanakan banyak 
inisiatif sebagai Ketua Menteri Sarawak dalam tempoh dua tahun lepas dan
 mampu melakukan lebih lagi jika diberi mandat besar memimpin negeri ini
 untuk tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata sejak memegang tampuk kepimpinan negeri ini 
pada Februari 2014, Adenan telah mengumumkan banyak dasar yang mesra 
rakyat dalam tempoh yang agak singkat.
“Tidak adil kalau dia (Adenan) diberi dua tahun sahaja. Rakyat mesti 
berikan dia lima tahun lagi (untuk terus melaksanakan banyak lagi 
inisiatif),” katanya ketika berucap pada program Sembang Santai di pekan
 Siburan, kira-kira 35km dari sini, hari ini.
Beliau berkata antara dasar yang telah dilaksanakan oleh Adenan dalam
 tempoh dua tahun ini, termasuklah pemansuhan tol jalan raya dan cukai 
tanah pertanian serta perumahan yang telah memberikan impak besar kepada
 rakyat.
“Saya dan Tok Nan (Adenan) telah membuat aku janji untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan untuk Sarawak,” katanya.
Najib berkata perbalahan semakin ketara dalam kalangan parti 
menganggotai pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak kali 
ini, seharusnya menjadi iktibar kepada rakyat untuk terus memilih 
Barisan Nasional (BN) memimpin Sarawak.
“Pada Januari lepas, DAP, PKR serta Amanah (Parti Amanah Negara) 
telah membuat aku janji untuk meletakkan satu calon sahaja (bagi setiap 
kawasan untuk menentang BN) tetapi hari ini, janji tinggal janji sahaja.
“Pembangkang sudah tidak bersatu hati sekarang dan bertembung sesama 
sendiri di enam kerusi. Mereka tidak ada kerjasama dan tidak mungkin 
dapat menubuhkan kerajaan yang stabil di Sarawak,” katanya.
Pada majlis itu, Najib sebagai Pengerusi BN turut mengisytiharkan 
sokongan penuhnya kepada pencalonan Datuk Dr Jerip Susil sebagai calon 
langsung BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, yang 
sebelum ini dikenali sebagai DUN Bengoh.
Beliau berkata pencalonan Dr Jerip, berketurunan Bidayuh yang 
merupakan antara kumpulan minoriti di Malaysia, membuktikan BN 
mengamalkan prinsip  inklusif untuk memberi peluang kepada semua kaum 
mengambil bahagian dalam pentadbiran negara.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment