Monday, March 28, 2016
Kerajaan Pulau Pinang Digesa Ubah Status Dokumen Tender Tanah Taman Manggis
GEORGE TOWN : Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP 
digesa supaya mengubah status dokumen tender terbuka mengenai kelulusan 
tanah bagi pembinaan kemudahan perubatan dan hotel di bawah Fasa 2 Taman
 Manggis, Jalan Zainal Abidin, di sini.
Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang Jason Loo berkata 
kerajaan negeri perlu ikhlas dalam mengubah status dokumen berkenaan dan
 tidak mewujudkan halangan bagi orang ramai yang ingin memohon 
mendapatkan rekod transaksi kerajaan sekiranya tiada perkara yang hendak
 mereka sembunyikan.
Loo berkata beliau perlu membayar kira-kira RM50 hingga RM150 
dan dikehendaki menandatangani satu akuan berkanun (SD) untuk membeli 
dokumen tender terbuka itu.
“Sebenarnya, bulan lepas, kami memohon mendapatkan dokumen itu dan 
kami diminta menandatangani satu SD. Tapi, seperti yang saya nyatakan 
kepada pegawai terbabit, saya tidak akan ubah keputusan saya untuk tidak
 menandatangani SD itu. Apabila sudah menandatangani SD itu, anda tidak 
boleh mendedahkan dokumen yang anda peroleh daripada kerajaan negeri 
kepada pihak ketiga.
“Saya juga ingin tahu sama ada orang lain yang datang ke Komtar 
untuk membeli dokumen itu juga perlu menandatangani SD berkenaan. 
Sekiranya mereka tidak diperlukan berbuat demikian, maka ia suatu 
keganjilan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Loo memohon membeli dokumen tender terbuka bagi tanah Taman Manggis 
dengan membayar RM150 di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari 
ini, tetapi perlu menunggu selama 14 hari.
Beliau berharap kerajaan negeri akan bersikap telus dan membenarkan 
orang ramai mendapatkan dokumen tender terbuka itu agar mereka boleh 
membuat penghakiman tentang kes berkaitan banglo yang heboh diperkatakan
 sekarang ini menurut perspektif sewajarnya.
“Persoalan paling besar ialah sama ada penjualan banglo berkenan 
mempunyai kaitan secara lngsung atau tidak langsung dengan kontrak yang 
diberi kerajaan negeri Pulau Pinang kepada seseorang yang terlibat,” 
katanya.
Isu tanah Taman Manggis timbul apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor
 Datuk Shabudin Yahaya membawanya kepada pengetahuan Dewan Rakyat Khamis
 lepas dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 
menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada 
asalnya diperuntukkan bagi Projek Perumahan Rakyat.
Sementara itu, Puteri UMNO Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada SPRM tentang penjualan tanah Taman Manggis Fasa 2.
Ketuanya, Nurul Haida Mahamad, mendakwa tanah itu ditawar untuk 
dijual kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) pada 
2010, tetapi dokumen hak miliknya dikeluarkan pada 2015, iaitu lima 
tahun kemudian.
“Kami menerima beberapa dokumen berkaitan urusan jual beli tanah itu 
dan telah mengemukakannya kepada SPRM untuk disiasat,” kata Nurul Haida 
kepada pemberita di sini hari ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment