 
 Monday, March 28, 2016
Akta Kawal Dana Politik Sedang Diteliti Panel – Johari Ghani
SERDANG : Penggubalan akta atau undang-undang bagi mengawal 
sumbangan atau dana politik terhadap parti politik atau individu sedang 
diteliti sebuah panel, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul
 Ghani.
Beliau berkata panel berkenaan kini meneliti akta atau undang-undang 
berkaitan sebelum memutuskan bagaimana ia perlu dilaksanakan kelak.
“Panel tengah bincangkan undang-undang baharu yang boleh dipakai, 
kita sedang menanti keputusan itu. Senang nanti jika ada undang-undang 
baharu itu,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan 
menghentikan penerimaan dana politik dari luar negara.
 
 
Johari
 berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga 
Perbendaharaan 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini 
hari ini.
Tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng 
Kuan berkata satu mekanisme diperlukan bagi memastikan parti politik 
mendapat dana dari saluran yang betul.
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti 
politik patut berhenti menerima dana politik dari luar negara.
Dalam perkembangan lain, Johari menyifatkan kenaikan 4.2 peratus 
Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Februari 2016 merupakan kesan 
serta-merta daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) 
tahun lalu.
“Sesetengah para peniaga telah meningkatkan harga terutamanya barang 
bukan kawalan serta belum membiasakan dengan GST … saya yakin apabila 
GST menjadi sebahagian daripada sistem GST, maka harga barang-barang 
akan turun secara automatik,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment