Monday, March 28, 2016
Skor Keseluruhan Indeks Syariah Malaysia 2015 Adalah 75.42 Peratus – Najib
PUTRAJAYA : Skor keseluruhan Indeks Syariah Malaysia bagi 
2015, yang julung kalinya dikeluarkan dalam sejarah sistem pentadbiran 
negara, adalah sebanyak 75.42 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya 
berkata nilai indeks syariah itu adalah berdasarkan pencapaian lapan 
bidang utama pentadbiran negara yang dibuat melalui penyelidikan yang 
komprehensif dan saintifik.
Lapan bidang tersebut adalah pendidikan, perundangan Islam, politik, 
kesihatan, ekonomi, budaya, sosial serta prasarana dan persekitaran.
“Indeks yang pertama kali di dunia seumpamanya ini, adalah 
berdasarkan hasil dapatan penyelidikan yang telah berjalan selama enam 
bulan di seluruh Malaysia dengan tenaga kepakaran seramai 133 orang 
penyelidik dalam pelbagai disiplin ilmu,” katanya.
Najib berkata demikian ketika membentangkan Laporan Kajian Indeks 
Syariah Malaysia bersempena Majlis Ulama-Umara 2016 di Pusat Konvensyen 
Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran yang saintifik 
dan menyeluruh bagi menentu ukur kedudukan kerajaan dalam menjalankan 
pentadbiran negara berdasarkan prinsip asas Islam iaitu Maqasid Syariah.
Lima elemen utama dalam Maqasid Syariah iaitu pemeliharaan agama, 
nyawa, akal, keturunan dan harta merupakan kayu ukur utama yang akan 
digunakan untuk mengukur lapan bidang utama pentadbiran negara tersebut.
Najib berkata berdasarkan dapatan kategori pembuat dasar, pelaksana 
dan masyarakat, Indeks Syariah Malaysia untuk bidang pendidikan adalah 
sebanyak 82.5 peratus yang menunjukkan usaha dalam pembangunan 
pendidikan diterima secara positif oleh rakyat.
Indeks syariah dalam bidang perundangan Islam pula adalah sebanyak 
87.19 peratus dan adalah hasil ulama dan umara yang telah meletakkan 
syariah di tempatnya sebelum zaman penjajahan lagi, katanya.
“Mempertikaikan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah
 menafikan sejarah, budaya malah perlembagaan yang membentuk negara 
ini,” katanya.
Mengenai bidang ekonomi yang mencapai 65.27 peratus, Najib berkata 
walaupun asas sistem ekonomi Malaysia adalah konvensional namun kerajaan
 sentiasa berusaha mengadaptasi syariah dalam sistemnya secara 
berperingkat malah banyak dasar ekonomi negara kini bertepatan dengan 
Maqasid Syariah.
Dalam bidang politik pula, kajian merumuskan nilai skor bagi bidang tersebut adalah sebanyak 79.19 peratus, katanya.
“Peratusan indeks ini, sudah cukup untuk kita bermuhasabah tentang 
prestasi kita untuk melakukan lebih banyak pengislahan dalam bidang 
politik di negara ini,” katanya.
Untuk sektor kesihatan yang mendapat nilai 73.92 peratus, Perdana 
Menteri berkata kerajaan telah meletakkan nilai Maqasid Syariah dalam 
memenuhi mashalah umat yang bersifat keperluan asasi, termasuk pembukaan
 Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan caj RM1 untuk setiap rawatan 
yang diberikan.
Beliau berkata kajian menunjukkan bidang sosial mendapat indeks 
sebanyak 68.52 peratus yang disumbangkan oleh faktor seperti 
persekitaran politik yang kondusif.
“Pembangunan indeks sosial amat penting sebagai penanda aras kepada 
praktis Islam yang dirancang dan diamal selama ini, dan kerajaan akan 
meneliti cadangan-cadangan penambahbaikan yang dikemukakan,” katanya.
Bagi bidang budaya pula, Najib berkata sektor tersebut mendapat 66.47
 peratus dan nilai indeks tersebut menunjukkan bahawa masih terlalu 
banyak ruang yang perlu dibaiki agar dasar budaya yang digubal selari 
dengan Maqasid Syariah.
Mengenai sektor prasarana dan persekitaran yang mendapat 62.31 
peratus, katanya kerajaan melihat keperluan untuk diteliti satu persatu 
kelompongannya untuk memastikan rakyat dapat hidup aman dan harmoni 
dalam aspek prasarana dan persekitaran.
Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan Malaysia 
memperoleh skor keseluruhan Laporan Indeks Syariah 2015 sebanyak 75.42 
peratus. 
Skor itu berdasarkan penyelidikan komprehensif dan saintifik 
merangkumi lapan bidang utama yang berkaitan pelaksanaan dasar dan 
program kerajaan iaitu bidang pendidikan; perundangan Islam; ekonomi; 
politik; kesihatan; sosial; budaya dan prasarana dan persekitaran.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid 
Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
 dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib berkata Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pelaksanaan Indeks 
Syariah Malaysia akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaannya lebih 
efektif dan berimpak tinggi.
Katanya beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu, 
manakala ketua setiausaha negara memimpin urus selia jawatankuasa itu. 
Najib berkata pengenalan indeks itu diharapkan berupaya menjadi satu 
bentuk penyelesaian terhadap konflik dalam masyarakat negara ini dan 
dunia Islam di mana istilah ‘negara Islam’ dijadikan punca atau polemik 
dan perbalahan sehingga berlakunya bunuh membunuh antara sesama umat.
“Projek indeks syariah ini begitu penting dan dekat di hati saya 
sebagai ketua kerajaan, dan bersama komitmen rakan-rakan dalam kerajaan 
kita akan pastikan usaha pelaksanaannya dilakukan dengan efektif.
“Kita bersedia untuk indeks syariah ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
Perdana Menteri berkata hubungan, kerjasama dan perbincangan bersama 
para ulamak akan terus dimantapkan dan pihak lain juga diundang memberi 
pandangan ke arah penambahbaikan untuk pelaksanaan indeks yang lebih 
sempurna.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment