Monday, March 28, 2016
Syabas Dengan Pendirian Yang Terbaik..... Ku Li : Saya Konsisten Pendirian Untuk Perubahan
PETALING JAYA : Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa 
beliau sentiasa konsisten dalam pendiriannya mengenai tanggungjawab awam
 dan keperluan untuk perubahan.
"Inilah intipati perjuangan saya di peringkat kebangsaan serta dalam 
Umno sejak tahun 1987. Saya konsisten dalam perkara ini dan saya akan 
terus konsisten di hari muka.
"Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang. Seperti juga
 orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan 
munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini termasuklah 
meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat," katanya 
menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurut Tengku Razaleigh lagi, sebagai pengamal politik, beliau sentiasa
 bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti.
"Oleh yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus
 memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul," katanya yang juga
 Ahli Parlimen Gua Musang.
Bagaimanapun beliau mengingatkan setiap pengamal politik dan juga Ahli 
Parlimen bahawa mereka berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang 
perseorangan dan bermain politik dalam usaha dalam menangani perubahan 
yang diperlukan itu.
Minggu lalu, Tengku Razaleigh menandatangani Deklarasi Kelantan, dan 
memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri 
Najib Tun Razak.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa memuat naik gambar yang 
menunjukkan Ahli Parlimen Gua Musang itu bersama wakil-wakil Barisan 
Nasional sedang menandatangani sebuah dokumen.
Berikut adalah kenyataan penuh Tengku Razaleigh :
Negara kita kini sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan 
dan kepimpinan. Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang 
dahsyat terutamanya berkaitan dengan isu hutang negara.
Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan 
mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat. Selama 
ini saya sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar 
cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis 
seperti yang berlaku sekarang ini.
Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan
 saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti 
tidak dapat mengelak perubahan. Tanpa perubahan dalam tatacara 
pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab 
awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu.
Saya yakin tiada siapa yang dapat menuduh saya tidak konsisten berkenaan
 pendirian saya terhadap tatacara pemerintahan negara, tanggungjawab 
awam dan perlunya perubahan. Inilah intipati perjuangan saya di 
peringkat kebangsaan serta dalam Umno sejak tahun 1987.
Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus 
konsisten di hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan 
semakin lantang. Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya 
juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang 
untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh
 Dewan Rakyat.
Bagi maksud ini dan sebagai pengamal politik, saya bertindak 
berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti. Yang demikian 
isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan 
kepada ketua kerajaan tidak timbul.
Dalam usaha untuk memberi sumbangan berguna dan berfaedah, saya amat 
peka dan sedar akan masalah yang dihadapi negara dan keadaan kita yang 
genting; umpamanya masalah berkaitan dengan hutang negara serta 
akibatnya, terutamanya kesan terhadap kehidupan seharian rakyat jelata.
Dalam ucapan saya di Parlimen dan surat saya kepada Ahli-Ahli Parlimen, 
saya telah mengingatkan akan kesan yang kita rasai sekiranya hutang 
negara ini tidak ditangani dan diurus dengan penuh tanggungjawab.
Maka itu setiap pengamal politik dan Ahli Parlimen berkewajipan untuk 
tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha
 dalam menangani perubahan yang diperlukan itu.
Izinkan saya mengulangi bahawa masalah yang kita hadapi ini meninggalkan
 kesan negatif terhadap ekonomi kita dan kedudukan antarabangsa negara. 
Oleh itu kita hendaklah bijak menyelesainya dalam masa terdekat.
Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 

 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment