
Monday, March 28, 2016
Pemuda UMNO Pulau Pinang Kemuka Bukti Baharu Jualan Tanah Taman Manggis

GEORGE TOWN : Pemuda UMNO Pulau Pinang hari ini mengemukakan 
bukti terbaru mengenai kelulusan penjualan tanah di Taman Manggis kepada
 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Naib Ketua Pemuda Kepala Batas Muhammad A’fif Osman yang mewakili 
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, berkata pihaknya mengemukakan laporan 
berhubung dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah 
yang diperuntukkan untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu.
A’fif, bagaimanapun berkata kandungan dokumen bahan bukti terbaru itu
 tidak boleh didedahkan pada masa ini agar tidak menjejaskan siasatan 
SPRM.
“Saya meminta SPRM supaya menyiasat dengan lebih terperinci bagi 
mengelak daripada berlakunya sebarang penyelewengan dalam proses 
penjualan tanah itu,” katanya sebelum menyerahkan dokumen itu, di 
pejabat SPRM di sini hari ini.
Beliau turut mendakwa penjualan tanah di Taman Manggis kepada 
sebuah syarikat swasta, Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC)
 dibuat di bawah harga pasaran.
Isu tanah di Taman Manggis dan pembelian banglo oleh Ketua Menteri 
Pulau Pinang, Lim Guan Eng bermula apabila ia dibangkitkan di Dewan 
Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, yang 
meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian 
berhubung hartanah berharga RM2.8 juta itu, sedangkan nilai semasa rumah
 itu lebih RM3 juta.
Sementara itu, kira-kira 500 anggota Barisan Nasional (BN) dan wakil 
badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan aman di Taman Manggis,
 Jalan Burmah di sini, mendesak Lim membina PPRT atau melepaskan jawatan
 sebagai ketua menteri.
Ketua Pemuda UMNO negeri Rafizal Abdul Rahim berkata PPRT yang 
dirancang di Taman Manggis sepatutnya diluluskan kerajaan sekarang 
memandangkan ramai dalam kalangan rakyat Pulau Pinang belum memiliki 
rumah.
“Kami ingin membela nasib rakyat negeri ini yang memerlukan sebuah 
tempat kediaman yang lebih selesa walaupun disewa dan bukan milik 
sendiri,” katanya  kepada pemberita selepas perhimpunan itu.
Semalam, Lim dilaporkan berkata memandangkan tanah di Taman Manggis 
hanya 0.4 hektar, kerajaan negeri menggantikan tanah seluas 4.45 hektar 
di Jalan SP Chelliah di sini, untuk pembinaan rumah kos sederhana rendah
 dan rumah mampu milik.
Ketua Pemuda BN negeri H’ng Chee Wei pula meminta Lim menggantikan 
PPRT itu di Jalan SP Chelliah dan bukannya dengan membina rumah kos 
rendah atau rumah mampu milik.
“Sekiranya betul projek itu telah digantikan ke Jalan SP Chelliah 
dengan tanah yang lebih luas, mengapa PPRT tidak disenarai dalam pelan 
projek di situ?,” katanya.
Antara wakil BN dan NGO yang hadir ialah Naib Pengerusi Gerakan 
Bahagian  Tanjung H’ng Khoon Leng; Ketua Pemuda PPP negeri P.Thaiyalan; 
Yang Dipertua Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (GPEM) Mohd Rizuad
 Mohd Azudin; dan Presiden Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia 
(Gerakan Merah) Mohd Ali Baharom.
Terdahulu, Ali yang turut membuat laporan SPRM berhubung pembelian 
banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn di sini, meminta campur tangan Yang 
Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas untuk meminta Lim 
mengambil cuti daripada menjalankan tanggungjawab sebagai ketua menteri 
sehingga selesai siasatan SPRM.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment