
Monday, March 28, 2016
Tiada Bot, Kapal China Di Beting Patinggi Ali – Hishammuddin

KOTA TINGGI : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini 
mengesahkan tiada bot dan kapal dari China menceroboh perairan negara 
dekat Beting Patinggi Ali di Laut Cina Selatan. 
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata 
perkara itu disahkan Panglima TLDM Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad 
Badaruddin hari ini. 
“TLDM telah pantau perkara ini secara dekat serta terkawal dan saya 
sebagai orang bertanggungjawab, lega apabila beliau (Ahmad Kamarulzaman)
 sahkan perairan negara selamat,” katanya selepas menyaksikan Acara 
Penembakan Peluru Berpandu STARStreak di Lapang Sasar Bumi Ke Udara, 
Tanjung Logok di sini, hari ini. 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keadaan 
keselamatan dekat Beting Patinggi Ali selepas terdapat laporan mengenai 
kehadiran bot China di kawasan itu. 
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum, 
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed 
Noor, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Roslan Saad
 dan Ahmad Kamarulzaman. 
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pihaknya tidak akan berkompromi
 jika terdapat pihak luar yang cuba mewujudkan aktiviti ketenteraan di 
perairan negara.
“Jika benar ada cubaan untuk mewujudkan aktiviti ketenteraan, kita 
akan lihat secara serius dan kita sentiasa bekerjasama rapat dengan 
negara jiran,” katanya. 
Pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri 
Shahidan Kassim dilaporkan berkata kira-kira 100 bot dan kapal dari 
China dikesan menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali. 
Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan diambil jika kapal 
berkenaan dikesan memasuki zon ekonomi eksklusif negara, kata Shahidan. 
Mengulas mengenai STARStreak, Hishammuddin berkata aset berkenaan 
dibeli bagi menggantikan sistem peluru berpandu STARBust yang telah 
usang dan ditamatkan pengeluarannya. 
Peluru berpandu STARStreak merupakan aset pertahanan udara aras rendah (VSHORAD) baharu milik Angkatan Tentera Malaysia. 
STARStreak buatan syarikat yang berpangkalan di Eropah, Thales itu 
memiliki kelajuan 1,000 meter per saat dan mempunyai jarak keberkesanan 
sehingga tujuh kilometer. 
Sistem peluru berpandu itu mempunyai beberapa sistem antaranya sistem
 persenjataan mobil RAPIDRanger dan RAPIDRover, Next Generation 
Lightweight Multiple Launcher dan sistem komunikasi yang berkaitan. 
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment