Sunday, March 27, 2016
Nallakaruppan Mahu Saman Tun Dr. M
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan bercadang untuk 
mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
 Mahathir Mohamad bagi menuntut ganti rugi ke atas segala kehilangan 
yang dialami selepas beliau dipenjarakan pada tahun 1998.
Dakwa Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) itu, beliau telah 
kehilangan tiga jawatannya iaitu sebagai Pengarah Eksekutif Perhubungan 
Awam Magnum, Pengarah Kamunting Corporation Bhd dan Pengarah Malaysian 
Plantations Bhd. setelah dipenjara yang berpunca daripada tindakan bekas
 Perdana Menteri itu.
Sebagai langkah awal, menurut Nallakaruppan, pihaknya akan berjumpa 
dengan peguamnya dalam masa terdekat bagi berbincang berhubung tindakan 
menyaman bekas Perdana Menteri itu.
“Saya mahu menuntut ganti rugi atas segala kehilangan yang telah 
dialami, Oleh kerana Dr. Mahathir tidak sukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim
 dan saya kawan baik Anwar pada ketika itu, saya telah ditangkap dan 
dipenjarakan, bukannya atas tuduhan memiliki peluru pistol tanpa permit.
“Setelah diputuskan tidak bersalah dan dibebaskan, saya telah kehilangan
 semua termasuk ketiga-tiga jawatan tertinggi saya. Dr. Mahathir telah 
memerangkap saya sehingga menjadi buruan polis. Beliau adalah 
puncanya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nallakaruppan berkata, Dr. Mahathir tidak sepatutnya 
keluar dari UMNO dan bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan Perdana 
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila anaknya, Datuk Seri Mukhriz 
Mahathir tidak mendapat jawatan dalam parti dan kerajaan.
“Sebagai bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, Dr. Mahathir tidak patut
 buat tuduhan tidak berasas untuk jatuhkan Datuk Seri Najib. Segala 
tuduhan hendaklah disiasat dan proses mahkamah mesti dipatuhi. Jangan 
hancurkan perpaduan rakyat dan negara tanpa sebab. Malah, Dr. Mahathir 
yang mengarahkan saya serang Anwar.
“Tindakan Dr. Mahathir bagaikan menjilat ludah sendiri. Dulu beliau yang
 suruh saya serang Anwar tetapi sekarang mahu bersekutu dengan PKR pula.
 Beliau terlalu taksub mahukan anaknya jadi Perdana Menteri sehingga 
sanggup berbuat demikian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nallakaruppan turut menasihatkan Anwar supaya 
berhati-hati dalam menangani pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Dr. 
Mahathir ketika ini.
“Sebagai rakan karib, saya nasihati Anwar berhati-hati dan jangan 
terperangkap dengan permainan Dr. Mahathir. Anwar perlu ingat suatu 
ketika dulu Dr. Mahathir yang penjarakan beliau, kalau tidak sudah 
tentunya Anwar jadi Perdana Menteri sekarang.
“Dulu Dr. Mahathir tidak suka pembangkang, sekarang mahu menyokong pula.
 Inilah sikap sebenar Dr. Mahathir, Saya berharap Anwar tidak terpedaya 
lagi dengan agendanya,” ujarnya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan ‘Selamatkan 
Malaysia’ yang diadakan esok, Nallakaruppan menyifatkan penglibatan 
bekas Perdana Menteri itu sekadar mahu mencetuskan kekacauan.
“Itu adalah taktik pembangkang yang sengaja mahu menimbulkan 
kekacauan, Perhimpunan sedemikian tidak membantu mengukuhkan demokrasi 
sedia ada di negara ini sebaliknya hanya akan mencemarkan imej baik 
Malaysia di mata dunia,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment