
Monday, March 28, 2016
UMNO Selangor Nafi Paksa Cawangan Tandatangan Deklarasi Sokong PM

SHAH ALAM : Badan Perhubungan UMNO Selangor menegaskan parti 
itu tidak pernah memaksa mana-mana cawangan di negeri itu menandatangani
 sebarang bentuk deklarasi termasuk deklarasi menyokong kepimpinan 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. 
Timbalan Pengerusinya Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata ini 
kerana parti itu mengamalkan sistem demokrasi terbuka dan akan 
memastikan amalan itu terus subur dalam UMNO.
“UMNO Selangor tidak pernah memaksa mana-mana cawangan membuat 
apa-apa deklarasi mengenai sokongan,” katanya ketika ditemui pemberita 
selepas menghadiri istiadat pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan 
Undangan Negeri Selangor yang Ke-13 oleh Sultan Selangor Sultan 
Sharafuddin Idris Shah di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor di 
sini hari ini.
Mat Nadzari yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor 
berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal Malaysiakini 
hari ini yang memetik Ketua UMNO Cawangan Teratai Hashim Abdul Karim 
sebagai mendakwa kepimpinan UMNO akar umbi di Selangor kini diarahkan 
menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib.
Hashim didakwa menyatakan perkara itu ketika berucap dalam program 
santai dan penerangan isu-isu semasa bersama-sama Naib Presiden UMNO 
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Bukit Lanchong, Laman Bistari di
 sini, malam tadi.
Mengenai perkembangan lain, Mat Nadzari yang juga Anggota Dewan 
Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali berkata pihaknya akan mengetengahkan 
beberapa isu penting dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang bermula 
esok.
Ia termasuklah keperluan memantapkan peranan Selangor State 
Investment Centre (SSIC Berhad) selaku agensi pemudah cara dalam urusan 
berkaitan pelaburan negeri untuk memacu pelaburan.
Beliau berkata SSIC perlu mengambil pendekatan proaktif menarik 
pelaburan ke negeri Selangor dan tidak semata-mata bergantung kepada 
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sementara itu, ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi daripada BN, 
berkata pihaknya menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor yang mahu
 kerajaan negeri membuat pindaan sewajarnya terhadap Enakmen 
Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 bagi 
menangani perbuatan dan pemakaian darjah kebesaran tanpa pengiktirafan 
baginda.
Beliau berkata tuntutan pindaan ke atas enakmen itu adalah tepat pada
 masanya ketika adanya segelintir individu yang sanggup menjadi pihak 
ketiga untuk mendapatkan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf baginda.
“Enakmen ini sangat baik untuk dikemas kini kerana ia dapat melindungi kepentingan Tuanku selaku Sultan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment