
Monday, March 28, 2016
Ini Luahan Sedih Pengantin Perempuan - Saya Hanya Pertahankan Keluarga

Pergaduhan melibatkan kedua-dua keluarga pengantin yang tersebar dan 
menjadi viral di media sosial kelmarin dikatakan berpunca adalah 
semata-mata untuk mempertahankan keluarga.
Menurut pengantin perempuan, Nurul Hasnani Yazit, 21, berkata, 
keluarganya hanya bertindak daripada diserang oleh keluarga pengantin 
lelaki.
Menurutnya, dia tidak menyangka perkara itu menimpa keluarganya apatah 
lagi video bertumbuk antara bakal suami dan keluarga yang berdurasi tiga
 minit mula tersebar dan menjadi viral di laman sosial.
“Terus terang saya sedih dengan apa yang berlaku, kawan-kawan juga ada 
bertanyakan kepada saya tentang kejadian itu kerana ia sudah tersebar.
“Saya tidak mahu cakap mengenainya dan rasa kami tidak akan berhubung 
semula lepas ni,” katanya ketika kepada media di rumahnya di PPR 
Kampung Limau, Pantai Dalam KL. 
Dia mengulas tentang pergaduhan yang berlaku melibatkan keluarganya di Masjid Al-Khadijiah, Pantai Dalam di sini kelmarin.
Bagaimanapun, dia yang mesra dipanggil ‘Nani’ memilih untuk mengurungkan
 diri di dalam bilik dan ketika ditemui, raut wajahnya jelas menunjukkan
 kesedihan.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan hasrat sepasang bakal pengantin untuk 
melangsungkan perkahwinan musnah didakwa gara-gara wang hantaran tidak 
cukup sehingga menimbulkan salah faham dan mencetuskan pergaduhan antara
 kedua belah keluarga.
Bakal pengantin lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan 
dikatakan gagal menyediakan wang hantaran RM15,000 seperti yang 
dijanjikan dan dipersetujui semasa sesi merisik pada Januari lalu.
Dalam pada itu, seorang wanita yang mendakwa keluarga kepada pihak 
perempuan dengan nama ‘Wanie Azwani’ turut memuat naik penjelasan 
daripada imam masjid berkenaan menerusi statusnya di laman Facebook.
Memetik kenyataan itu, punca pergaduhan dikatakan bukan disebabkan wang 
hantaran tidak cukup tetapi isu perjanjian yang gagal ditunaikan, selain
 pihak lelaki didakwa bercakap secara kurang sopan apabila ditanya 
mengenai baki wang hantaran tersebut.
Dalam pada itu, bapa Nurul Hasnani, Yazit Hasshim, 48, ketika ditemui 
berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut dan 
menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
“Saya tidak mahu salahkan sesiapa, orang boleh bercakap apa saja tetapi 
biarlah kebenaran yang menentukan. Berdiam bukan bermakna saya salah 
atau mengalah.
“Pasti ada hikmah dengan apa yang berlaku ini, apa pun saya hanya 
serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu saudara pihak lelaki yang enggan 
dikenali berkata, dia tidak menyangka pemberian wang hantaran dijadikan
 isu sehingga pernikahan anak saudaranya terbatal. 
“Saya mengenali Nurul Hasnani, dia pernah datang ke rumah sebelum ini. 
Saya masih terkejut dengan apa yang terjadi kerana hal seperti ini tidak
 pernah berlaku dalam keluarga kami.
“Perkara sebegini seharusnya diselesaikan dengan cara baik, bukan dengan
 emosi,” ujarnya.
Sementara itu, bakal pengantin lelaki masih gagal dihubungi kerana 
menurut ibu saudaranya itu, telefon bimbit milik anak saudaranya rosak 
akibat pergaduhan tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment