Monday, March 28, 2016
Pemimpin UMNO Sokong Deklarasi Mahathir Terkeluar Dari Landasan Perjuangan Parti
GEORGE TOWN : Tindakan beberapa pemimpin UMNO yang menyokong 
‘Deklarasi Mahathir’ amat mendukacitakan kerana jelas menunjukkan mereka
 sudah terkeluar daripada landasan perjuangan parti.
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim berkata pemimpin 
terbabit dilihat turut terjerat dengan permainan politik parti 
pembangkang yang mahu melihat kerajaan ditunjangi UMNO tumbang dan 
rebah.
“Apakah mereka sudah tidak lagi mampu untuk menilai mainan politik 
atas nama rakyat yang diamalkan parti-parti pembangkang selama ini dan 
tidak nampak mainan politik pembangkang untuk mengambil alih teraju 
pimpinan negara?
“Apakah mereka juga sudah menjadikan agenda politik peribadi itu 
lebih penting daripada agenda untuk agama, bangsa dan negara?,” katanya 
dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada penglibatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, 
Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang 
bersekongkol dengan pembangkang menyokong deklarasi tersebut.
Rafizal berkata kepimpinan negara dipilih melalui sistem demokrasi 
dan rakyat mempunyai hak dalam menentukan siapa pemimpin serta parti 
memerintah pada setiap kali pilihan raya diadakan.
Beliau berkata sebarang tindakan tidak selari dengan amalan-amalan 
demokrasi bagi mengubah atau menukar pimpinan negara yang telah dipilih 
secara demokratik, harus ditolak.
“Saya secara peribadi juga mengecam tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad 
yang dikatakan menjadi teraju utama deklarasi berkenaan yang pada saya 
ia bertujuan untuk memuaskan dendam dan nafsu politik peribadi beliau 
semata-mata.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil dan Malaysia tidak 
terkecuali terkesan dengannya, seorang negarawan yang pernah memimpin 
negara selama 22 tahun seharusnya membantu pimpinan semasa negara dalam 
menangani cabaran global ini,” katanya.
Beliau berkata rakyat perlu berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu 
perkara agar dapat membuat keputusan terbaik demi masa depan yang 
cemerlang.
“Menjadi tanggungjawab ahli parti juga untuk menjelaskan isu ini 
kepada rakyat agar terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak
 sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment