
Monday, March 28, 2016
Perjuangan Tun Mahathir Bukan Lagi Perjuangan Untuk Orang Melayu – Rais

Veteran UMNO Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan 
perjuangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini bukan lagi
 perjuangan untuk orang Melayu, sebaliknya lebih bersifat peribadi.
Beliau berkata sebagai pemimpin yang telah lama dikenalinya, beliau 
berasa sedih dengan tindakan yang diambil Dr Mahathir yang jelas 
bercanggah dengan perjuangannya sebelum ini.
“Saya tak nampak ia (Kongres Rakyat) berjaya sebab amat jelas bahawa 
Tun mengadakan program-program ini sekali gus menidakkan apa yang dia 
buat dahulu. Dahulu beliau mempunyai keyakinan dan kesabaran untuk 
menaikkan UMNO semula dan orang Melayu, sekarang politik beliau bukan 
untuk orang Melayu lagi, bukan untuk semerbak perjuangan dalam BN 
(Barisan Nasional) lagi.
“Beliau menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan apa 
sebab, tentulah ada kaitan dengan rentetan peristiwa yang membawa kepada
 (pemecatan) Datuk Seri Muhkriz di Kedah,” katanya kepada pemberita di 
sini, hari ini selepas majlis Santapan Minda anjuran Yayasan Budi dan 
Biro Penerangan BN Parlimen Jelebu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan 
Kongres Rakyat pada Ahad di Shah Alam, Selangor yang turut disertai oleh
 Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin 
Yassin.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan 
berkata beliau tidak tertarik untuk menyertai atau memberi sokongan 
kepada hujah-hujah yang disambut baik oleh pembangkang dan pihak yang 
mahu menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
“Perlu ditegaskan dalam sistem demokrasi dan perundangan negara 
bahawa memang boleh seseorang itu seperti Tun Mahathir seru agar perdana
 menteri meletak jawatan. Namun, kesemua ini perlu diasaskan kepada 
undang-undang negara (yang mana) ada dua perkara yang seharusnya 
difikirkan.
“Ia ialah apabila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan tidak percaya 
kepada beliau (Najib) atau apabila anggota Parlimen di Dewan Rakyat 
meluluskan undi tidak percaya terhadap beliau. Jika sebarang langkah ini
 tidak dapat dilaksanakan, maka Najib tidak boleh diseru untuk letak 
jawatan waima dengan sejuta tandatangan diperoleh oleh Tun Mahathir dan 
sekutunya,” katanya.
Oleh demikian katanya, sekiranya perasaan tidak puas hati itu hendak 
diterjemahkan oleh mana-mana pihak, ia boleh dilakukan menerusi pilihan 
raya.
“Sementara itu, benarkan perdana menteri dan (jemaah) Kabinetnya menjalankan tugas negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa supaya UMNO dan BN terus 
mempertingkatkan usaha bagi memenangi hati dan minda golongan muda 
menerusi pemerkasaan media sosial dan juga sistem penyampaian.
“Cabaran bagi kita di PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) bukan kecil 
sebab generasi muda dalam lingkungan umum 21-40 berada pada tahap lebih 
60 peratus. Jadi gesaan dan juga kegiatan dalam talian mesti 
ditingkatkan.
“Cara ini, saya kira memang mencabar dan kita perlu dalam keadaan 
yang suntuk untuk memperbaiki sistem penyampaian dan keberkesanan kita,”
 katanya sambil menambah supaya parti komponen turut sama bekerja keras 
dengan tulus dan ikhlas bagi meyakinkan pengundi.
Mengulas mengenai sama ada BN mampu terus meraih sokongan rakyat 
ekoran terpalit dengan pelbagai isu seperti 1Malaysia Development Bhd 
(1MDB), kejatuhan nilai Ringgit, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik 
(TPPA) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Rais menegaskan jika 
rakyat melihat bahawa kerajaan terus ikhlas, produktif, membantu dan 
meningkatkan kehidupan, tak ada sebab untuk rakyat menolak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment