Sunday, March 06, 2016

Acah Tak Jadi.... Pemuda UMNO Tolak Gerakan Politik Luar Tabii

Hasrat kumpulan anti Najib untuk 'acah' Pemuda UMNO supaya menyokong mereka berkecai pada Jumaat selepas pengerakan tersebut tidak berminat untuk terlibat dengan mana-mana gerakan politik luar tabii.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata demikian sebagai jawapan balas kepada Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin yang mengajak Pemuda UMNO untuk membentuk kerjasama.

Menurut Khairul, tindakan itu dilihat lebih kepada cubaan untuk mengaut laba politik populis jangka masa pendek.

“Kami tidak berminat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Pemuda UMNO lebih suka untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan politik kebudak-budakkan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Selain itu, Khairul turut menjelaskan bahawa Pemuda UMNO tidak berminat menyertai gerakan menidakkan institusi demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, mandat diberikan oleh rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memimpin negara ini.

“Kami kira wajar Afif mula dengan mengajak rakan-rakan lain di dalam AMK untuk sama-sama bersatu di bawah kepimpinan Nik Nazmi dahulu sebelum memulakan apa-apa gerakan nasional,” tegas beliau.

Dalam satu kenyataan, Afif mengajak seluruh anak muda Malaysia, terutamanya Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bersama dalam agenda perubahan.

“Najib walau pada awal pemerintahannya menjanjikan transformasi, akhirnya berubah menjadi pemerintah kuku besi demi terus berpaut pada kekuasaan di saat beliau terpalit dengan skandal kewangan dan krisis integriti paling buruk pernah negara ini saksikan.

“Ancaman daripada tindak-tanduk Perdana Menteri ini menggugat asas-asas Malaysia berlandaskan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment