Thursday, March 24, 2016
Proton Tidak Akan Hentikan Operasinya Di Tanjung Malim
IPOH : Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan
kilang pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd masih menjalankan
operasi seperti biasa dan tidak bercadang untuk menutup operasinya di
Tanjung Malim.
“Mereka tidak bercadang menutup kawasan industri mereka, khususnya
kawasan Proton Tanjung Malim. Saya perjelaskan ini memandangkan ada
laporan yang menyebut Proton tidak akan meneruskan pengeluaran
keretanya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat
Exco di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau diberi taklimat oleh pihak Proton Tanjung Malim mengenai operasi dan perancangan syarikat berkenaan.
Zambry berkata, Proton akan terus menjadi penyumbang utama kepada
pembangunan Daerah Muallim dan diharapkan pihak Proton dapat memainkan
peranan sebaik-baiknya.
“Berdasarkan penjelasan dan perancangan yang telah pun mereka lakukan
ternyata mereka berada atas landasan yang betul bagi pembangunan masa
depan,” katanya.
Selain itu, Zambry berkata pihak Proton telah memastikan segala
perancangan yang dirangka dapat diteruskan dan mencapai matlamat
menjelang 2020.
“Mereka juga telah memperkenal dan menjelaskan kepada kerajaan negeri
mengenai model baharu yang akan berada di pasaran dan pengeluaran di
kilang Tanjung Malim,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment