Wednesday, April 13, 2016
Ceramah Dr Zakir Naik Bukan Bertujuan Menghina Agama Lain : Jamil Khir
KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom berkata, tiada unsur-unsur untuk menghina agama lain apatah lagi
mempromosikan perpecahan dan perbalahan dalam ceramah Dr Zakir Naik.
Bahkan ceramah-ceramah beliau sebelum ini sering dihadiri oleh tokoh-tokoh dari kalangan bukan Islam.
Menurut Jamil Khir, dalam konteks Jelajah Dr Zakir Naik di Malaysia,
penceramah itu menekankan aspek perpaduan dan kesatuan di kalangan umat
Islam dan pada masa yang sama perlu menghormati kepelbagaian agama yang
ada di Malaysia.
“Meskipun di dalam ceramah-ceramah beliau ada menyebut agama lain namun
ianya bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesuatu agama tersebut namun
ianya adalah merupakan perbincangan dan perdebatan ilmiah dan akademik
yang dilaksanakan dengan penuh hikmah dan ketertiban,” katanya dalam
kenyataan, Selasa.
Jelas beliau, Dr Zakir Naik adalah seorang pendakwah yang terkenal dan
mendapat tempat di seluruh dunia, bahkan di India sendiri beliau telah
diberikan tempat dan kebebasan untuk menyampaikan dakwahnya.
Malaysia juga pernah mengiktiraf Dr Zakir Naik sebagai Tokoh Maal Hijrah
Antarabangsa pada tahun 2013 berdasarkan kepada ketokohan beliau dan
keilmuan yang dimiliki.
“Tokoh perbandingan agama ini sangat dihormati dan sangat mementingkan
hujah-hujah ilmiah dan akademik serta fakta yang tepat dengan merujuk
kepada sumber asal sesuatu agama di dalam ceramah-ceramahnya,” katanya
lagi.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan sekiranya tajuk ceramah yang menjadi
polemik dan kegelisahan di kalangan masyarakat, Dr Zakir dinasihatkan
agar tajuk ditukar kepada yang lebih sesuai dan harmoni.
Kerajaan hari ini mengambil keputusan untuk membenarkan pendakwah
kontroversi itu meneruskan syarahannya di Melaka pada 17 April ini
walaupun sebelum ini polis mengarahkan penganjur supaya membatalkannya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata
kerajaan menetapkan syarat supaya program tersebut yang bertajuk
‘Similarities Between Hinduism and Islam’ ditukar namanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment