Wednesday, April 06, 2016
Kejayaan Khairul Idham Kebanggaan Kampung Gajah - Bapa
KAMPUNG GAJAH : "Saya gembira bercampur sedih dengan kejayaan dicapai
Khairul Idham yang mencipta rekod dunia dalam kejohanan MotoGP apabila
menjuarai Moto3 di Grand Prix Argentina, awal pagi tadi," kata bapa
pelumba itu, Pawi Omar, 52.
Katanya, beliau gembira kerana anaknya mencipta lakaran sejarah baharu
untuk negara hingga menjadi juara dunia, namun pada masa sama, dia sedih
kerana anaknya ke sana bersendirian dan berseorangan.
"Bukan saja rakyat Malaysia, kejayaan ini turut menjadi kebanggaan masyarakat Kampung Gajah dan rakyat negeri Perak.
"Saya sedih kerana Khairul Idham ke sana tanpa sesiapa menemaninya, dia
bersendirian dan hanya disambut rakan pasukannya sebaik tiba di lapangan
terbang.
"Dia pergi turut membawa bekalan makanan dari Malaysia termasuk mi
segera, ikan bilis, beras dan makanan ringan yang lain bagi memastikan
tidak berdepan sebarang masalah mencari makanan halal kerana berada di
negara bukan majoriti umat Islam.
"Apa pun saya bangga kerana impiannya untuk berdiri setanding pelumba
handalan dunia tercapai selepas dinobatkan sebagai juara," katanya
ketika ditemui di kediamannya di sini, sebentar tadi.
Pawi berkata, dia tidak terkejut dengan kejayaan anaknya itu kerana tahu
cara dan kesungguhan ditunjukkan Khairul Idham untuk sampai ke tahap
itu.
"Selepas menyaksikan kejayaan Khairul Idham menaiki podium ketika
dinobatkan juara dan lagu Negaraku berkumandang, saya rasa terharu serta
bangga kerana usaha gigihnya itu berbaloi walaupun melakukannya
bersendirian, sekali gus melakar sejarah baharu dalam arena sukan
permotoran negara," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment