Wednesday, April 13, 2016
Terima Kasih HINDRAF- Zakir Naik
JERTIH : Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik mengucapkan terima kasih
kepada HINDRAF yang disifatkannya memberi publisiti percuma kepadanya. Beliau berkata, tentangan beberapa pihak yang tidak senang dengan
kedatangannya ke negara ini adalah cabaran baginya sebagai seorang
pendakwah.
Walaupun kehadirannya tidak disenangi pihak berkenaan, beliau tetap
bersyukur kerana kontroversi membabitkan dirinya berjaya menyatukan umat
Islam khususnya di negara ini. "Saya berterima kasih kepada Hindraf kerana memberi publisiti percuma
kepada saya. Sekarang semakin ramai yang datang mendengar syarahan saya.
"Saya gembira apabila tentangan itu membuka mata dua parti politik Islam di Malaysia iaitu UMNO dan PAS untuk bersatu. "Apa yang dapat dilihat, apabila musuh datang, nampak umat Islam semakin bersatu.
"Itu cabaran biasa sebagai pendakwah. Itu sifat manusia biasa apabila ada yang suka dan tidak suka.
"Apa yang saya percaya, jika saya dapat menyatukan umat Islam walaupun
kecil, saya bersyukur kepada Allah dan berdoa semoga Allah memberkati
usaha dakwah ini," katanya pada syarahan umum bertajuk `Adakah Allah
Wujud' di pekarangan Sekolah Menengah Imtiaz Besut di sini, malam tadi.
Lebih 5,000 termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman
dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menghadiri
syarahan umum itu.
Pendakwah ulung itu ketika ini dalam siri jelajah ke Terengganu sejak
Sabtu lalu. Syarahan terakhir beliau di negeri ini adalah di Padang
Astaka Kemaman dengan tajuk syarahan 'Muslim Choice - Dakwah or
Destruction', Khamis ini.
Mengulas mengenai tajuk syarahan umum di Melaka yang perlu ditukar, Dr
Zakir berkata, beliau akur dengan permintaan pihak berkuasa dan sebagai
penceramah versatile, beliau perlu bersedia dengan sebarang perubahan
termasuk menukar tajuk syarahan di saat akhir.
"Dengan apa yang berlaku ini, saya dapat rasakan jumlah hadirin yang akan datang ke syarahan umum saya di Melaka akan bertambah. "Saya dapat rasakan penduduk Melaka semakin tidak sabar menantikan kehadiran saya," katanya.
Beliau berkata, ini adalah kali keenam kedatangannya ke Malaysia dalam
tempoh 20 tahun dan setiap kali syarahan jumlah pengikutnya semakin
bertambah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment