
Wednesday, April 13, 2016
Tun M Masih Mahu Menguasai Pentadbiran Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengganggu pentadbiran negara
adalah disebabkan beliau masih mahu menguasai pentadbiran negara.
Katanya, bekas Perdana Menteri itu masih mahu menguasai pentadbiran
negara kerana mempunyai agenda tertentu termasuk kemungkinan mahu
meletakkan anaknya dalam kepimpinan negara atau kemungkinan disebabkan
terdapat projeknya yang tidak ditunaikan.
“Dr Mahathir lupa bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri,
beliau sendiri enggan diganggu oleh mana-mana pihak dan tidak mahu
sesiapa membantahnya dengan mengamalkan cara “do it my way or you are no
way” (buat ikut cara saya atau awak tidak akan dapat),” katanya dalam
satu rakaman wawancara khas yang disiarkan di satu saluran malam ini.
Menurut Najib, Dr Mahathir mungkin lupa bahawa beliau adalah
penyokong setianya selama 22 tahun malah menyokong kuat bekas presiden
parti itu ketika hampir separuh daripada anggota parti tidak menyokong
kepimpinannya.
Katanya, kini sebagai perdana menteri yang diberi mandat, beliau
menentukan dasar negara dengan cara yang lebih terbuka dan membuat
sesuatu keputusan secara berbincang dengan para pemimpin lain dalam
kerajaan dan begitu juga dalam kepimpinan parti, beliau bersandar kepada
prinsip yang sama.
“Bila saya jadi Perdana Menteri saya harus diberi kepercayaan untuk
mentadbir negara.
Saya terima pendapat tetapi saya tidak mahu
mengenepikan prinsip iaitu saya Perdana Menteri yang sah dan saya tetap
akan memimpin mengikut pertimbangan saya yang terbaik untuk negara dan
rakyat,” katanya.
Najib berkata, seseorang pemimpin harus mempunyai prinsip dan maruah
diri kerana mereka akan dinilai dan dihukum oleh sejarah mengenai legasi
yang ditinggalkan.
“Ini bermakna, jika kita tidak mempunyai apa-apa lagipun,
sekurang-kurangnya kita masih ada maruah diri, jadi kalau korbankan
prinsip, sejarah akan menghukum kita,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata politik di Malaysia pada dasarnya adalah
stabil kerana undang-undang telah termaktub bahawa kerajaan tidak boleh
diubah menerusi demonstrasi jalanan walaupun rakyat diberi kebebasan
bersuara.
“Hakikatnya politik di Malaysia stabil, apa yang mereka lihat itu
(demonstrasi jalanan) saya anggap sebagai ‘noise level’ sebab untuk
melakukan sesuatu perubahan di Malaysia mesti tertakluk kepada
perlembagaan iaitu sesiapa yang majoriti di Parlimen, maka boleh
menubuhkan kerajaan,” katanya.
Najib berkata, di Malaysia sesiapa yang menjadi presiden parti
terbesar (UMNO) dalam Parlimen maka dia akan jadi Perdana Menteri dan
sesiapapun tidak boleh menukar kerajaan melalui demonstrasi jalanan.
“Kita tidak mahu menukar demonstrasi jalanan menjadi ‘democrazy’ dan
rakyat boleh membuat perubahan memilih kerajaan dalam masa lima tahun.
“Kita mesti ada rasa tanggungjawab dengan pemikiran yang rasional
bahawa kita mesti berpandukan kepada demokrasi kedaulatan undang-undang
iaitu berpaksi kepada prinsip demokrasi di mana rakyat ada hak pilih
kerajaan,” katanya.
Presiden UMNO itu juga berkata, pengalamannya selama 40 tahun dalam
politik telah memberi kelebihan kepadanya mendapat sokongan kerana
beliau mempunyai kekuatan dari segi kenalan kawan-kawan seperjuangan dan
sokongan secara peribadi sejak di peringkat pergerakan Pemuda UMNO
lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment