
Tuesday, April 05, 2016
UMNO Kota Baharu Giat Daftar Pengundi Baharu

KOTA BAHARU : UMNO Bahagian Kota Baharu sedang giat
melakukan pendaftaran pengundi baharu bagi membolehkan mereka mengundi
khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Ketua UMNO bahagian itu Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian berkenaan telah
diarah untuk membuka kaunter pendaftaran pengundi di lokasi tumpuan
ramai generasi muda seperti di karnival anjuran agensi kerajaan, swasta
dan badan bukan kerajaan.
“Pada tahun lepas lebih 2,000 orang yang mencapai umur 21 tahun
didaftarkan sebagai pemilih dan saya percaya masih terdapat ramai lagi
yang belum berdaftar (sebagai pengundi) di kawasan Parlimen Kota
Baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Kerjaya
Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2016 di sini, hari ini.
Mohamad Fatmi berkata UMNO Bahagian Kota Baharu akan memastikan
golongan muda itu dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam
menentukan hala tuju negara pada masa depan.
Sementara itu, beliau berkata Fiesta Kerjaya itu amat baik kepada
pelajar universiti untuk mendapatkan panduan dalam memilih kerjaya
mereka selepas tamat pengajian.
“Kalau dulu tidak ramai pihak yang buat penganjuran seperti ini
sehinggakan generasi dahulu tidak mendapat panduan kerjaya yang sesuai
dengan kelayakan dan minat mereka,” katanya.
Program Fiesta Kerjaya UiTM itu berlangsung selama dua hari bermula
hari ini, membuka banyak peluang kerjaya kepada para pelajar melalui
kehadiran majikan seperti institusi perbankan, syarikat insurans dan
agensi kerajaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment