
Wednesday, March 23, 2016
BN Terus Tekad Beri Khidmat Kepada Rakyat

JOHOR BAHARU : Usaha pembangkang yang ‘menangguk di
air keruh’ dan mahu membina kerajaan baru di Terengganu tidak
sekali-kali mematahkan semangat kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk
terus bekerja keras di negeri itu.
Sebaliknya, kerajaan BN yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Ahmad
Razif Abd Rahman bertekad terus berkhidmat untuk rakyat dengan sebaik
mungkin.
“Kerajaan BN di Terengganu masih kukuh, jangan risau. BN masih
memegang 17 kerusi dan PAS 14 kerusi, kita masih kukuh sebagai
kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen Beautiful
Terengganu Malaysia di Plaza Angsana, di sini malam tadi.
Menyifatkan isu bekas Menteri Besar yang juga Anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang mahu membawa usul undi
tidak percaya terhadapnya dan pembangkang mahu kerajaan baru, seperti
‘ribut dalam cawan’, beliau berkata baginya isu berkenaan sudah selesai.
“Bagi kita isu Terengganu telah selesai, tiada ada lagi. Kita tidak
ada masa lagi memikirkannya, sekarang yang penting ialah memberi
perkhidmatan kepada rakyat,” kata Ahmad Razif.
Bagi kerajaan BN di Terengganu, usaha akan ditumpukan sepenuhnya
untuk menjadikan negeri itu negeri maju menjelang 2020, kata beliau.
Menyentuh mengenai isu peruntukan dana, Ahmad Razif berkata kerajaan
negeri tidak pernah menyekat malah membatalkan peruntukan yang diberikan
kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali peruntukan DUN Kijal yang
diuruskan menerusi mekanisme lain.
“Kita antara negeri yang paling banyak memberikan peruntukan kepada DUN. Satu DUN dapat RM3 juta,” kata beliau.
Semalam, Ahmad Razif berkata kebajikan rakyat di DUN Kijal, Kemaman
akan terus terbela, cuma cara penyaluran peruntukan sahaja yang berbeza.
Keputusan itu diambil setelah ADUN Kijal itu menimbulkan usul undi
tidak percaya terhadap Ahmad Razif pada sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN), 8 Mac lalu.
Susulan daripada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara
(Amanah) Khalid Samad berkata pimpinan PAS Terengganu perlu menyatakan
pendirian dengan segera dan membina kerajaan baru di Terengganu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment