Wednesday, March 23, 2016
Hak Mutlak Sarawak Untuk Halang Kemasukan Mat Sabu
KUALA LUMPUR : Tindakan menghalang Presiden Parti Amanah Negara (Amanah)
Mohamad Sabu atau Mat Sabu daripada memasuki Sarawak adalah hak mutlak
kerajaan negeri itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur
Jazlan Mohamed.
Beliau berkata KDN tidak perlu dimaklumkan mengenai tindakan menghalang
mana-mana individu memasuki Sarawak kerana ia merupakan hak Jabatan
Imigresen negeri itu.
"Akta Imigresen Sarawak membenarkan negeri itu membuat keputusan atas
apa-apa alasan. Undang-undang itu mutlak. KDN hanya bertanggungjawab
kepada Akta Imigresen 1959/63 di Semenanjung manakala di Sabah dan
Sarawak ia di bawah kuasa kerajaan negeri," kata Nur Jazlan kepada
pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Terdahulu, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam sidang
media di lobi Parlimen mendakwa Mat Sabu dihalang memasuki Sarawak oleh
Jabatan Imigresen negeri itu pagi tadi.
Beliau berkata Mat Sabu tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira pukul
10.40 pagi dan ditahan ketika melalui pemeriksaan Imigresen dengan hanya
dimaklumkan ia atas arahan Pejabat Ketua Menteri.
"Saya dimaklumkan tiada sebarang alasan diberikan oleh pihak Imigresen
yang menahannya dan Mat Sabu diarahkan pulang ke Semenanjung dengan
penerbangan pertama dari sana," katanya.
Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk
Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi
tertentu termasuk kuasa Jabatan Imigresen dan mereka berhak berbuat
demikian atas alasan-alasan tertentu.
"Ini harus dihormati. Kita bicara soal autonomi apa pun yang dilakukan
sudah tentu ada pertimbangannya dan bukanlah bertujuan politik
semata-mata.
"Apabila mereka halang sudah tentu mereka mempunyai alasan tertentu yang
hanya boleh dijawab oleh kerajaan Sarawak sendiri," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment