
Wednesday, March 09, 2016
Inisiatif Pengurangan Cukai Diharap Bantu Rakyat Urus Kewangan – Najib

Pelbagai inisiatif kerajaan berkaitan pengurangan
cukai bagi tahun taksiran 2015 diharap dapat membantu rakyat dalam
menguruskan kewangan dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ramai akan mula
memfailkan penyata cukai sama ada di pejabat-pejabat Lembaga Hasil Dalam
Negeri seluruh negara atau secara dalam talian.
“Langkah ini adalah perlu bagi memastikan semua individu yang
berkenaan telah membayar cukai yang bertepatan serta menerima pulangan
cukai di mana berhak selain mengelakkan berlakunya ketirisan,” katanya
dalam catatan dalam laman blog NajibRazak.com.
Beliau berkata dalam Bajet 2015, kerajaan telah mengumumkan beberapa
inisiatif termasuk kadar cukai pendapatan individu dikurangkan satu
hingga tiga mata peratusan dan menerusi langkah itu, sebanyak 300,000
orang tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.
Katanya golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak
lagi mempunyai tanggungan cukai selain kadar cukai maksimum 26 peratus
pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus.
Selain itu, Najib berkata dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pula,
kerajaan telah mengumumkan akan memberi pelepasan khas cukai sebanyak
RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM 8,000 sebulan ke
bawah untuk tahun taksiran 2015, sebagai langkah tambahan membantu
rakyat.
Melalui langkah ini, katanya, kerajaan akan mengalami kerugian
sebanyak RM350 juta tetapi pada masa sama dapat memberi penjimatan
bayaran cukai individu sehingga RM475 serta memanfaatkan sebanyak dua
juta pembayar cukai.
“Saya harap kesemua inisiatif yang telah dan akan diambil ini
sedikit-sebanyak dapat membantu rakyat dalam menguruskan kewangan mereka
dan menangani kesan kenaikan kos sara hidup, Insya-Allah,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment