
Wednesday, March 23, 2016
Isu Ancaman Pengganas Bukan Kenyataan Politik – Zahid

BALI : Pendedahan kerajaan mengenai ancaman keselamatan di
Malaysia bukan satu kenyataan berunsur politik, sebaliknya ia harus
diambil serius oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya beliau telah beberapa kali mendedahkan Malaysia tidak
terlepas daripada ancaman keselamatan oleh pengganas termasuk adanya
perancangan untuk menculik pemimpin negara tetapi ada pihak memandang
kenyataan itu sebagai berunsur politik.
“Saya telah beberapa kali memberi kenyataan mengenai bahaya
ancaman pengganas dan keselamatan negara, ia bukan kenyataan politik
tetapi ia adalah hasil risikan,” katanya kepada wartawan Malaysia
sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri persidangan Bali
Process di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, insiden letupan bom
di Brussels, Belgium seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat
Malaysia bahawa keganasan masih dilakukan pengganas di serata dunia.
Wisma Putra dalam kenyataan Selasa lepas berkata kerajaan Malaysia
mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Lapangan
Terbang Brussels yang telah meragut puluhan nyawa.
Mengenai persidangan Bali Process, Zahid berkata kemajuan yang
dicapai pada mesyuarat itu ialah buat pertama kalinya negara anggota
bersepakat dan memberi komitmen menerusi Deklarasi Bali.
“Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pada
persidangan ini. Komitmen semua negara digambarkan melalui Deklarasi
Bali yang pertama kali dikeluarkan walaupun persidangan ini pernah
berlangsung selama enam kali,”, katanya.
Salah satu daripada deklarasi itu ialah menggesa negara sumber
mengambil tanggungjawab menerima semula rakyat mereka yang tidak
mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pelarian.
Beliau berkata Malaysia sering membantu pelarian atas dasar
kemanusiaan walaupun terdapat mereka yang menjadi pelarian atas sebab
ekonomi tetapi pada masa sama, Malaysia juga tidak mahu dibebani
kebanjiran pendatang tanpa izin.
Ahmad Zahid berkata kerajaan sangat komited untuk membanteras
jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara
terlibat bagi mengatasi masalah berkenaan.
Bali Process ialah satu persidangan peringkat rantau Asia Pasifik
mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas
sempadan dan ia disertai 48 negara termasuk Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment