Monday, March 21, 2016
Jamil Khir, Haron Din Kongsi Pentas Forum Keganasan Persepsi
PETALING JAYA : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din akan berkongsi pentas dalam
satu forum yang membincangkan isu 'keganasan persepsi'.
Dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama
Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), forum ini dilakukan setelah
menyedari keganasan persepsi menjadi ancaman baharu yang mampu
menjejaskan perpaduan ummah dan keselamatan negara.
"Keganasan persepsi adalah satu ancaman baharu yang mampu menjejaskan perpaduan ummah, keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Ia lebih bahaya daripada keganasan senjata dan mampu mewujudkan anarki
dan mempengaruhi masyarakat menjatuhkan kerajaan yang demokratik,"
menurut UKM dalam kenyataan medianya, Isnin.
UKM, dalam kenyataan tersebut berkata ancaman ini semakin serius
berikutan penggunaan media baharu yang mampu menerobos ke setiap sudut
rumah dan mempengaruhi golongan remaja, khususnya.
"Ia perlu ditangani secara strategik dan bersepadu supaya tidak menjejaskan perpaduan umah dan keselamatan negara," katanya.
Forum yang dijalankan menerusi Bicara Persenda ini bertajuk 'Keganasan
Persepsi Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah' dan akan berlangsung di
Persada Canselori UKM, Bangi dengan Ketua Pegawai Eksekutif GMM
Nasharudin Mat Isa bertindak sebagai pengendali.
Ia akan dihadiri 400 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi,
golongan ilmuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.
Selain diberi motivasi supaya tidak mudah terpengaruh dan dikelirukan
dalam menerima maklumat yang belum dipastikan kebenarannya, peserta juga
akan diberi panduan bagaimana menangani isu keganasan persepsi dalam
dunia politik.
Selain Jamil Khir dan Haron, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar
UKM Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Pengerusi Majlis Perundingan
Pelajar Kebangsaan Muhammad Farhan Khairudin juga terlibat sebagai ahli
panel.
"Bicara Persada ini akan menampilkan gabungan ahli panel yang hebat dan
mempunyai kepakaran dalam isu yang diutarakan selain berkemampuan
memberi panduan bagi masyarakat menghadapi keganasan persepsi secara
bijaksana," katanya.
Keganasan persepsi merujuk kepada pembabitan masyarakat dan golongan
tertentu melalui saluran komunikasi seperti media sosial dan aplikasi
telefon pintar yang mengandungi unsur provokasi, emosi serta sentimen
keterlaluan yang mendorong kepada persekitaran negatif.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment