
Wednesday, March 23, 2016
KDN Tidak Pernah Lantik Ejen Kendali Penggajian Semula Pati – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah
melantik mana-mana ejen bagi melaksanakan Program Penggajian dan
Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya telah
mengenal pasti sebuah syarikat tempatan yang menawarkan khidmat
berkenaan dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Banyak kes ejen palsu tawar khidmat tersebut menerusi iklan di
internet dan media sosial. Minggu lepas kami (KDN) buat satu laporan
polis. Banyak lagi laporan polis akan dibuat selepas ini.
“Mana-mana syarikat dan majikan yang didapati bersalah akan didakwa,”
katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Nur Jazlan mengingatkan majikan agar tidak terpengaruh dengan
sebarang khidmat yang ditawarkan mana-mana syarikat yang mendakwa
dilantik KDN sebagai ejen program itu.
“Saya takut sebab ada majikan lebih percayakan ejen hingga sanggup
membayar beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan pekerja PATI. Saya nak
maklumkan di sini bahawa penguatkuasaan akan diteruskan dan pendakwaan
akan dikenakan kepada majikan dan ejen berkenaan,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment