
Monday, March 21, 2016
Kerajaan Sentiasa Berusaha Lakukan Terbaik Untuk rakyat – Najib
KUANTAN : Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat negara
ini tidak perlu mempedulikan gerakan bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad dengan pembangkang menerusi ‘deklarasi Mahathir’ kerana
kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik
untuk rakyat.
Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat
dengan melaksanakan pelbagai program yang dapat memenuhi kehendak selain
memastikan semua akujanji pada manifesto pilihan raya umum lepas dapat
dipenuhi.

Beliau berkata apa yang penting bukan deklarasi atau surat tetapi
tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan mampu
milik yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Apa guna memekik sana, memekik sini? Melaung sana, melaung sini?
Orang yang dulu maki hamun kita, kita pula dakap dia. Ini tidak patut.
Apa yang patut adalah untuk kita jaga hati rakyat,” katanya.
Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan
kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Sri
Fajar Jaya, Jalan Kuantan-Gambang di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Setiausaha
Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail.
Najib yang juga Presiden UMNO percaya rakyat akan terus memberi
sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan
bersikap rendah diri.
Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam
perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana
perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya
‘diserang’ daripada pelbagai sudut.
“Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata
yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa
dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau
Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.
“Mereka tetap kata ‘America is great’ (Amerika hebat). Tapi puak-puak
kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita
boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya,
kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah
terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana
perkara itu lebih kepada politik persepsi.
Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana agenda
perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di
landasan yang ditetapkan.
Di Pahang sendiri katanya, sebanyak 39,000 unit rumah PR1MA Pahang
telah berjaya dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun sasaran awal
hanya sebanyak 19,000 unit.
“Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu
kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak
ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan
yang dipilih oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang
mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit
merupakan pembelian asset yang menguntungkan rakyat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment