Monday, March 21, 2016
Mahathir Tiada Locus Standi Campuri Urusan UMNO - Shabery
KUALA PILAH : Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek berkata, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak
mempunyai locus standi atau kedudukan untuk memberi apa-apa cadangan
kepada anggota parti.
Beliau berkata, ini kerana Dr Mahathir bukan lagi anggota parti selepas
negarawan itu membuat keputusan untuk keluar daripada Umno pada 29
Februari lepas.
"Saya kira beliau (Dr Mahathir) tak ada locus standi untuk membuat
apa-apa cadangan kepada ahli cawangan kerana beliau tak menjadi ahli
Umno dan tidak menjadi ahli Umno adalah pilihan beliau sendiri.
"Saya kira elok jika beliau tidak mencampuri urusan parti yang beliau
sudah tidak anggotai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Majlis Penerangan, Taklimat dan Perasmian Serentak Persidangan Cawangan
Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Dr Mahathir pada
Jumaat supaya cawangan-cawangan Umno mengemukakan usul undi tidak
percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan
perdana menteri dalam mesyuarat tahunan masing-masing.
Kenyataan Dr Mahathir itu diviralkan dalam media sosial.
Mengulas lanjut, Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani berkata pada masa ini, biarlah jemaah Umno yang menentukan masa
depan parti.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim dalam
ucapannya menegaskan bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Najib
sebagai perdana menteri dan juga presiden Umno.
"Ini pendirian kita (bahagian Kuala Pilah) untuk kita mempertahankan presiden," katanya.
Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
menyifatkan usul Dr Mahathir itu bertujuan untuk menjatuhkan dan
merosakkan UMNO.
"Saya minta supaya ahli-ahli Umno negeri tidak terpedaya dengan gerakan
negatif ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kuala Kedah pada Sabtu.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata,
beliau akan meminta semua ketua cawangan memantau perkara itu kerana
kebiasaannya orang dalaman parti yang akan cuba merosakkan parti secara
senyap.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment