Wednesday, March 23, 2016
Pemilik Banglo Kontroversi Mengaku Bukan Pengarah, Pemegang Saham KLIDC
"Saya bukan pengarah atau pemegang saham KLIDC (Kuala Lumpur
International Dental Centre Sdn Bhd), syarikat yang berjaya dalam bidaan
bagi tanah Taman Manggis melalui tender terbuka".
Kenyataan itu terkandung dalam akuan berkanun Phang Li Koon, yang
menjual banglo kontroversi di Jalan Pinhorn di Georgetown kepada Ketua
Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Dalam akuan berkanun itu, yang dibaca anggota Exco negeri Phee Boon Poh
di sini hari ini, Phang menjelaskan bahawa beliau juga tidak terlibat
dengan pengurusan syarikat itu.
Ditanya kenapa beliau yang membacakan akuan berkanun itu, Phee berkata
beliau mempunyai hubungan sebagai saudara jauh dengan Phang dan
penasihat kepada Persatuan Phang.
Dalam akuan berkanun itu, Phang berkata beliau menjual banglo itu atas
dasar rela hati antara pembeli dan penjual pada harga RM2.8 juta, yang
dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014.
"Saya juga tidak memperoleh sebarang manfaat daripada kerajaan negeri
kerana menjual rumah itu kepadanya (Lim). Sayalah yang membuat keputusan
pada harga berapa saya hendak menjualnya kepada Ketua Menteri.
"Saya menegaskan bahawa saya tidak ditekan atau dipaksa atau (telah)
dipengaruhi dengan cara yang tidak sewajarnya oleh Ketua Menteri atau
mana-mana pihak supaya menjual rumah berkenaan kepada Ketua Menteri pada
harga RM2.8 juta," katanya.
Pembelian banglo itu oleh Lim mencetuskan kontroversi apabila Anggota
Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada
persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas.
Shabudin, yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang
(PERDA), turut meminta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta membuat
penilaian terhadap harta itu.
Beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menyiasat penjualan beberapa bidang tanah di Pulau Pinang, yang pada
asalnya dikatakan diperuntukkan bagi pembinaan rumah melalui Projek
Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Phang berkata beliau membuat keputusan menjual banglo itu kerana ia
mendapat publisiti yang tidak diingini serta tuduhan dari semasa ke
semasa, termasuk beberapa kejadian seperti tunjuk perasaan dan upacara
pengebumian jenazah yang diadakan di depan rumah itu serta perbuatan
melempar bom molotov cocktail ke perkarangan rumah berkenaan.
"Tidak putus-putus tersiar berita tentang rumah itu, dengan alamat dan
gambarnya terpampang dalam semua akhbar. Saya berasa amat tidak selesa
sekiranya saudara mara saya atau saya sendiri mengambil keputusan untuk
tinggal di situ suatu hari kelak," katanya.
Phang berkata beliau tidak membuat tinjauan tentang harga pasaran
apabila mengambil keputusan menjual rumah berkenaan pada 2015 kerana
beliau berpendapat langkah itu tidak perlu apabila mendapati Ketua
Menteri sebagai pembelinya, manakala satu persetujuan dicapai berhubung
perjanjian bertarikh 23 Jun 2014 berkaitan harga jualan yang
dipersetujui.
Phang membeli banglo itu dengan harga RM2.5 juta pada 2008.
Beliau mengenali keluarga Lim sejak 2008 dan berkawan rapat dengan isteri Lim, Betty Chew.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment