
Monday, March 21, 2016
Tubuhkan Pasukan Pengaman Antarabangsa Selesai Konflik Palestin-Israel

KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal
Merican Naina Merican berkata pasukan pengaman antarabangsa perlu
ditubuhkan untuk menangani konflik Palestin-Israel setelah rundingan dua
halanya menemui jalan buntu.
Beliau berkata konflik dua negara itu yang berlarutan sejak tujuh
dekad lepas, amat kompleks dan terus mengorbankan ribuan nyawa rakyat
Palestin.
“Kena ada pasukan pengaman antarabangsa untuk melaksanakan tindakan
antarabangsa, maka masyarakat antarabangsa kenalah campur tangan bagi
merealisasikan penubuhan itu.
“Selagi tidak ada campur tangan antarabangsa, selagi itulah konflik
tidak akan selesai dan rakyat Palestin tidak akan terbela,” katanya.
Reezal Merican berkata demikian selepas majlis Penyerahan Sumbangan
Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia
Berhad (Angkasa) kepada Kementerian Luar Negeri di Bangunan Parlimen
hari ini.
Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah menyerahkan sumbangan
RM113,096.25 kepada kementerian bagi membantu meringankan beban rakyat
Palestin.
Ia hasil sumbangan pelbagai koperasai di bawah Angkasa menerusi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Reezal Merican juga meminta masyarakat antarabangsa supaya ikhlas dan
bersungguh-sungguh dalam usaha mereka mengakhiri konflik kedua-dua
negara itu tanpa mengorbankan nyawa.
Mengenai sumbangan kepada Palestin, beliau berkata kerajaan sentiasa
memastikan bantuan disalurkan secara berterusan kepada rakyat Palestin.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat prihatin dan saya anggap ini
sebagai manifestasi rakyat Malaysia bahawa isu Palestin sentiasa dekat
di hati mereka,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment