Wednesday, March 23, 2016

Yang Salah Itu Jugak PR Mahukan..... Papan Iklan Bebas Anwar : Ini kata Kementerian Dalam Negeri

Gara-gara isu Pakatan di Selangor pasang papan iklan 'Bebas Anwar' sehingga pihak polis terpaksa bertindak menurunkannya,Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Nur Jazlan Mohamed beri peringatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau meminta PBT agar tidak meluluskan papan iklan berbentuk politik sekiranya ia bukan dalam tempoh kempen pilihan raya.

Katanya PBT tidak sepatutnya terbabit dengan agenda politik mana-mana parti di negara ini.

"PBT janganlah berpolitik. Mana ada PBT yang benarkan papan iklan berbentuk politik. Papan iklan berbaur politik tak boleh dikeluarkan PBT.

"Polis akan bertindak jika (papan iklan) itu dianggap tidak sesuai," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen Selasa.

Nur Jazlan ditanya mengenai papan iklan #BebasAnwar di beberapa lokasi antaranya Ampang, Subang Jaya dan Klang yang dikatakan berbaur hasutan serta menghina keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi hukuman ke atas Anwar.

Menurut Nur Jazlan, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurunkan papan iklan berkenaan adalah tepat dan mengikut peruntukan undang-undang bawah Akta Polis.

Berikutan protes oleh NGO terhadap papan iklan berkenaan tiga seumpamanya di sekitar Ampang Jaya telah diturunkan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata kandungan papan tanda dengan gambar bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta perkataan 'tahanan politik' didapati menghina serta mencabar institusi kehakiman negara.

"Sebanyak tiga papan tanda telah ditanggalkan oleh pihak polis dan kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan telahpun dibuka berhubung perkara ini," katanya.

Katanya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga diminta untuk menurunkan papan tanda berkenaan bagi memastikan tiada lagi bantahan dan kekecohan berlaku.

Mengulas mengenai tindakan beberapa individu yang mengugut untuk membakar papan tanda itu, Hamzah berkata polis telah mengambil keterangan daripada Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Selangor Datuk Jamal Md Yunos dan Exco Pemuda UMNO Malaysia Armand Azha Abu Hanifah Selasa.

Katanya, dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, Jamal dan Armand Azha tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, pada 3 petang tadi.

Kira-kira 200 penyokong dan 13 peguam turut berkumpul di hadapan IPD Ampang Jaya sebagai tanda sokongan kepada mereka.

Rabu lepas, Jamal yang mengetuai sekumpulan individu menampal kain rentang pada papan tanda #BebasAnwar di Ampang Jaya swebagai tanda protes selain menggugut untuk membakarnya.

Armand Azha dipanggil untuk memberi keterangan selepas memuat naik video di laman YouTube dan mengugut untuk membakar papan tanda berkenaan pada Sabtu lepas.

Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukum penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23 tahun.

Anwar didapati melakukan kesalahan itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment