Wednesday, March 23, 2016
"Pertemuan Terbaik Antara Saya Dengan PM" - Nik Abduh
Jika ada yang 'sakit mata' melihat kemesraan Ketua Pemuda PAS Nik
Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak di Masjid Wilayah Persekutuan Ahad malam... Ahli parlimen Pasir
Mas itu ada jawapan yang cukup bermakna.
Kata anak allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, pertemuan beliau
dengan PM yang disaksikan 20,000 pelajar tahfiz dalam masjid dan
suasana mengingati Allah SWT itu adalah "pertemuan terbaik".
Menurutnya, kehadirannya dan Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan pada
majlis bersama Najib itu dikritik oleh sesetengan pihak, namun katanya
ia adalah pertemuan terbaik beliau bersama dengan Perdana Menteri.
“Jika ada yang tercalar hati mereka dengan pertemuan tersebut, lalu
mentohmah, bolehlah mereka mengubati sendiri duka dan amarah di hati
mereka dengan berkata, “Tidak cukupkah lagi masjid, al Quran dan
perhimpunan zikrillah menjadi penyejuk hati dan kerehatan bagi manusia
yang sentiasa berselisih di medan politik?”
“Jika Malaysia mahu kembali dengan keadilan dan kesejahteraan hidup,
maka kembalilah kepada al Quran dan masjid. Selainnya adalah kepalsuan
yang nyata,” katanya.
Sementara itu, Nasruddin Hassan sebelum ini menjelaskan mereka tidak
mengelak dari bertemu Najib dalam majlis itu adalah untuk
mengaplikasikan Politik Dakwah.
“Kita akan teguh berprinsip bagi memperjuangkan Islam dan menentang
kemungkaran. Kami akan perangi penyakit (ideologi yang salah dan
bertentangan dengan Islam), kami tidak memusuhi pesakitnya.
“Sebaliknya kami akan terus berjuang untuk menegur, mengkritik dan mendidik mereka agar kembali ke jalan Allah SWT,” katanya.
Najib merasmikan Himpunan 20,000 Huffaz anjuran Gabungan Persatuan
Institusi Tahfiz Kebangsaan (PINTA) di Masjid Wilayah Persekutuan,
baru-baru ini.
Najib ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2015
Disember lalu berkata UMNO menghulurkan tali silaturahim kepada PAS
untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat
Islam selepas parti itu “disepak dan diterajang keluar” oleh rakan-rakan
pembangkangnya.
Manakala keterbukaan PAS, menerusi kenyataan Abdul Hadi sebelum ini,
juga menunjukkan parti bersedia untuk menjalin hubungan bersama UMNO
berhubung perkata berkaitan dengan memperkasakan agama dan negara.
Ahad lalu, Himpunan 20K Huffaz telah menghimpunkan 20,000 penghafaz
al-Quran yang mewakili 300 buah Maahad Tahfiz yang dirasmikan oleh
Perdana Menteri, dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib turut menyertai Majlis Khatam Al- Quran beramai-ramai dan menunaikan solat maghrib berjemaah bersama para huffaz.
Beliau turut mengumumkan kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) akan melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi
meningkat dan mengembangkan pengajian maahad tahfiz dalam negara.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment