Monday, March 21, 2016

Zahid Bawa Kisah Kitab Lama Dan Ular Yang Cuba Gugat UMNO...

http://img.astroawani.com/2016-03/71458481524_DSZahidHamidi.jpg
Datuk Seri Zahid Hamidi tidak sebut nama sesiapa. Namun siapa saja yang mendengar ucapan beliau sewaktu merasmikan serentak persidangan UMNO cawangan seluruh Selangor petang Ahad cukup faham pada siapa yang beliau rujuk.

Beliau menyifatkan seorang individu yang menulis surat kepada cawangan-cawangan UMNO agar menyertai gerakannya untuk jatuhkan Perdana Menteri sebagai 'kitab lama' yang perlu diletakkan di satu tempat tinggi tanpa perlu lagi membacanya.

"Tetapi jangan pijak kitab itu, letak di atas tetapi jangan baca sebab ia kisah atau nostalgia lama. Jadi, tinggalkan ia sebagai sejarah kerana kita perlu terus melangkah ke hadapan," katanya.

Berucap di depan 5,000 ahli-ahli cawangan UMNO Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysian (MAEPS),Zahid yakin saranan individu itu tidak akan mempengaruhi pendirian sedia ada anggota parti, sebaliknya sokongan terhadap Presiden UMNO kekal tertinggi walaupun sedar ada segelintir yang cuba 'menjadi kacang hantu' yang merosakkan parti dari dalam.

"Kita mahu melangkah ke hadapan, kita tinggalkan itu sebagai sejarah…”,katanya.

Katanya individu itu yang kini berusaha menjatuhkan Perdana Menteri pernah lakukannya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Badawi.

Zahid kata biasanya ular akan patuk sekali.Beliau harap patukan ketiga tidak menyengat.

"Ular janganlah patuk tiga kali di tempat yang sama. Ular hanya akan patuk sekali saja. Insya-Allah, patukan ketiga, bukan kita nak riak. Kita minta patukan ketiga tidak ada bisanya," katanya.

Beliau juga minta ahli UMNO singkap balik sejarah pemilihan jawatan sengit Team A dan Team B  (1987) hingga bawa kepada UMNO diharamkan.

"Mungkin orang tu gila talak, mungkin. Mungkin orang tu merasakan apabila tak ada kepedulian dalam UMNO, bila dia keluar, dia tulis surat kepada ketua cawangan, supaya bersama dengan gerakan yang dianjurkan beliau," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden mengingatkan ahli parti supaya memberikan kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin yang menerajui parti itu.

Katanya sikap berbelah bahagi merupakan permulaan kepada segala permasalahan, yang akhirnya akan merugikan parti dan perjuangan.

Katanya prinsip pegangannya dalam perjuangan parti ialah membantu Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri serta sentiasa memastikan kekukuhan institusi kepemimpinan parti.

"Ia merupakan asas yang perlu dipegang dan dihayati setiap anggota parti. Itu prinsip yang saya pegang selama ini selain kita juga perlu menghindari rasa berbelah bahagi dalam memberikan ketaatsetiaan.

"Jadi, sebagai pendokong parti, cintailah UMNO sepenuh jiwa raga agar parti terus bergerak kukuh bersama kepimpinan sedia ada," katanya semasa berucap merasmikan serentak persidangan UMNO cawangan seluruh Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysian (MAEPS) di sini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Mengenai persediaan UMNO Selangor berdepan pilihan raya umum akan datang,  Zahid turut mengumumkan pemberian imbuhan sebanyak RM50,000 kepada bahagian yang berjaya mendaftarkan keahlian tertinggi, pembukaan cawangan baharu terbanyak, dan daftar pengundi teramai bermula tahun hadapan.

Beliau juga mahu anggota UMNO di negeri itu melupakan segala persengketaan, bermuhasabah serta faham bahawa mereka bukannya 'tuan' sebaliknya adalah pembangkang yang perlu bekerja lebih keras untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Pada majlis itu, Zahid turut menerima deklarasi menyokong kepimpinan Najib daripada Noh sebagai tanda sokongan semua ketua cawangan dan bahagian UMNO Selangor.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment