
Wednesday, April 13, 2016
7,000 Pembeli Rumah Pertama Bakal Terima Manfaat Insentif MyDeposit

PUTRAJAYA : Sekurang-kurangnya 7,000 pembeli rumah bakal
menikmati manfaat Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit)
yang menawarkan insentif sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau
maksimum RM30,000 bagi pembelian rumah pertama.
Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Mohamad Yusoff Ghazali
berkata permohonan yang dibuka sejak 6 April sehingga 30 Jun itu,
menerima sebanyak 1,046 permohonan lengkap, setakat ini.
Katanya sejak seminggu permohonan tersebut dibuka, jumlah pemohonan
yang tertinggi diterima adalah dari Selangor diikuti Putrajaya, Johor
dan Pulau Pinang.
“Tempoh permohonan dibuka sehingga akhir Jun ini dan insentif ini
diberikan kepada mereka yang layak berdasarkan ‘first come, first
serve’,” katanya dalam taklimat media berkenaan skim MyDeposit, di sini
hari ini.
Beliau berkata sekiranya skim tersebut mendapat permintaan tinggi
daripada rakyat, jabatan tersebut akan cuba membuat permohonan kepada
kerajaan untuk menambahkan jumlah peruntukan yang disediakan.
MyDeposit merupakan produk khusus yang diumum Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak pada 23 Okt 2015 bagi mengurangkan beban kewangan
penyediaan wang deposit untuk pembelian rumah pertama dengan peruntukan
berjumlah RM200 juta disediakan kerajaan.
Skim tersebut diselaraskan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perumahan Negara dengan
pembelian setiap rumah pertama adalah berharga RM500,000 dan ke bawah.
Jelas Mohamad Yusoff, skim yang menyasarkan golongan M40
dengan berpendapatan kasar antara RM3,000 dan RM10,000 sebulan itu
membantu rakyat untuk meningkatkan keupayaan dan aksesibiliti untuk
memiliki kediaman sendiri.
“Malah, skim ini adalah berbentuk insentif dengan deposit yang
dibayar oleh kerajaan terus kepada pemaju untuk projek baharu atau
peguam bagi pembelian rumah sekunder tidak perlu dibayar balik oleh
pembeli,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kerajaan telah menetapkan rumah yang dibeli
melalui skim itu tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun atau
disewakan.
Katanya permohonan untuk skim terbabit adalah terbuka kepada rakyat
Malaysia yang layak, berumur 21 tahun ke atas dan orang ramai boleh
memohon secara atas talian dengan membuka akaun di
http://ehome.kpkt.gov.my.
“Kita menjangkakan setiap permohonan akan memakan masa kira-kira
sebulan untuk diproses dan surat tawaran kepada pembeli yang lulus
permohonan mereka akan diberikan seawal hujung bulan ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment