
Wednesday, April 13, 2016
1MDB : Pua Hanya Bergantung Kepada Bukti ‘Dengar Cakap’ – Peguam Najib

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa
anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee hanya
bergantung kepada bukti dengar cakap dalam afidavitnya berhubung isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak berhujah bahawa bukti itu terkandung dalam
dua perenggan afidavit sokongan Pua membabitkan hasil carian Suruhanjaya
Syarikat Malaysia (SSM) mengenai laman web rasmi 1MDB dan artikel
berkaitan isu 1MDB yang diterbitkan dalam blog, surat khabar dan portal
online.
Mohd Hafarizam berkata bukti yang dikemukakan Pua adalah bukti dengar
cakap sehinggalah pegawai bertanggungjawab daripada SSM dipanggil untuk
mengemukakan afidavit sokongan bagi mengesahkan perkara berkenaan.
“Jika ada afidavit sokongan daripada pegawai SSM itu, barulah
defendan (Pua) boleh membuktikan maklumat yang diperolehinya,” hujah
peguam itu dalam permohonan Najib untuk memadamkan beberapa perenggan
dalam afidavit sokongan yang diikrarkan Pua pada 7 Mei 2015 dalam saman
difailkan perdana menteri itu.
Mohd Hafarizam berkata wartawan portal dan blogger yang menulis
artikel mengenai isu 1MDB juga perlu mengemukakan afidavit sokongan bagi
mengesahkan pembuktian maklumat yang diperoleh.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua pula berhujah kes saman itu
berkaitan isu 1MDB dan hasil carian oleh SSM berhubung isu berkenaan
adalah relevan dan tidak boleh dipertikaikan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar menetapkan 5 Mei untuk
keputusan permohonan Najib itu dan tarikh sama untuk mendengar
permohonan Pua bagi membatalkan saman Najib.
Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5
Mac tahun lepas dengan menamakan Pua, 43, dan Chan, 52, pemilik portal
Mediarakyat.net, Chan Chee Kong sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif berkata pada 13
November 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan
dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.
Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri
dan/atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web
Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.
Katanya rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan
berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya dan individu dikenali sebagai
‘perdana menteri’ dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya
(Najib).
Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah
merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara
meluas dan mudah di seluruh dunia melalui Internet, blog, forum dan
laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment