Wednesday, April 13, 2016
8 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Dr Zakir Naik
KUALA LUMPUR : BERITA kunjungan penceramah agama tersohor dari India, Dr
Zakir Abdul Karim Naik, telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam negara,
dan lebih hangat dalam masa beberapa hari ini.
Sebahagian daripada masyarakat Malaysia amat ternanti-nanti akan
kedatangannya malah ingin mengikuti majlis ceramah yang mengasah
ketajaman pemikiran, khususnya tentang pemahaman dan penilaian
berlandaskan perspektif agama Islam.
Namun, dalam masa yang sama, sebahagian lagi masyarakat menganggapnya
sebagai 'ancaman', kerana kepetahannya berdebat dilihat 'boleh
mencetuskan perbalahan dan ketegangan agama'.
Selepas berjaya menarik perhatian dengan kemunculan di Terengganu pada
Ahad, Dr Zakir menjadi topik hangat apabila Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar membuat keputusan agar ceramahnya di Universiti
Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak diteruskan atas sebab ketenteraman
awam dan sensitiviti agama di Malaysia.
Penceramah yang melepasi usia setengah abad itu dijadual menyampaikan
ceramah berjudul ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ (Persamaan
Antara Hindu and Islam).
Isu Dr Zakir kini menjadi perbualan hangat di Malaysia, tetapi sejauh manakah kita mengenali beliau?
Berikut adalah senarai 8 fakta ringkas tentang penceramah tersebut:
1. Dr Zakir Adbul Karim merupakan seorang ulama, penceramah dan
pendakwah dari India yang sering menyampai ceramah mengenai Islam dan
perbandingan agama di seluruh dunia. Beliau dilahirkan pada 18 Oktober,
1965 di Mumbai.
2. Dr Zakir merupakan seorang doktor perubatan yang memperoleh ijazah
Bachelor of Medicine and Surgery (MBBS) dari Mumbai. Pada tahun 1991,
beliau mula bekerja dalam bidang dakwah, dan mengasaskan Islamic
Research Foundation (IRF) .
3. Dr Zakir merupakan seorang yang popular dalam membuat penilaian
kritis dan memberi jawapan strategik kepada soalan-soalan yang mencabar
yang diajukan oleh penonton selepas ceramahnya.
4. Menerusi ceramahnya, beliau menjelaskan sudut pandangan serta
membetulkan pandangan salah terhadap ajaran Islam, dengan menggunakan
al-Quran, hadis dan input relatif daripada kitab-kitab agama lain
sebagai tambahan, bersama fakta saintifik.
5. Menurut laman blog The Islamic Research Foundation (IRF), dalam
tempoh 20 tahun (sehingga tahun 2014) Dr Zakir telah mengadakan lebih
2,000 sesi ceramah di seluruh dunia.
Antaranya ialah Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Itali,
Perancis, Arab Saudi, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana,
Nigeria, Ghana, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong
Kong, China, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives.
6. Pada bulan Mac 2012, sesi ceramah beliau di Kishanganj, Bihar,
dihadiri lebih daripada sejuta orang, dan menjadi salah satu perhimpunan
terbesar di dunia bagi ceramah agama yang hanya dikendalikan oleh
seorang penceramah.
7. Pada tahun 2012, Dr Zakir pernah mengadakan ceramah di Malaysia.
Ceramah beliau berlangsung di Johor Bahru, Universiti Teknologi MARA,
Kuantan dan Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.
8. Dr Zakir pernah menerima pelbagai anugerah dari pemimpin-pemimpin di
seluruh dunia. Pada tahun 2013, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat
Kebangsaan kepada Dr Zakir dalam Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah
Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2013M di Putrajaya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment