Wednesday, April 13, 2016
Jangan Cetus Provokasi Tentang Ceramah Dr Zakir Naik
Boleh dikatakan hampir seharian nama pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik
jadi sebutan masyarakat Malaysia semalam. Tidak kira dari rakyat marhain
hinggalah ke peringkat ahli politik, semuanya menyebut nama beliau.
Semuanya adalah gara-gara Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
membatalkan kebenaran bagi penganjuran forum ‘Kesaksamaan antara Hindu
dan Islam’ di UTeM, Melaka. Kecoh jadinya satu Malaysia…
Secara peribadi, penulis amat kagum pada kehebatan Dr Zakir Naik. Beliau
sangat intelek, petah berhujah dengan dalil-dalil aqli dan naqli yang
sangat mantap. Tidak hairanlah beliau belum pernah lagi dikalahkan dalam
mana-mana debat dari penganut agama lain yang sengaja mengajukan soalan
provokasi terhadap tokoh Islam dunia itu.
Penulis juga setuju dengan Mufti Perlis, PAS dan beberapa NGO Islam lain
yang mengatakan Dr Zakir tidak pernah sekali pun menganjurkan
permusuhan antara agama. Sebagai salah seorang ilmuan yang pakar tentang
perbandingan agama penulis yakin dengan pendirian dan kebijaksanaan
beliau tidak memburuk-burukkan agama lain.
Namun begitu, daya intelektual tersebut tidak semua pihak yang faham.
Kebernasan hujah dan ketepatan fakta beliau mungkin dapat diterima oleh
mereka yang mempunyai tahap intelektual yang tertentu, namun tidak semua
yang dapat menerimanya.
Sebagai contoh, berdasarkan tajuk yang berunsur menyentuh sensitivi
masyarakat berbilang agama seperti di Melaka itu, mungkin ada yang bakal
‘mengamuk’ dan ‘menggila’. Mungkin ada yang akan tersinggung walau
tiada sedikit pun rasa mahu menyinggung hati mana-mana pihak.
Misalnya di Pulau Pinang, sudah ada pemimpin politik yang menggelar Dr
Zakir sebagai ‘satan’ atau dalam bahasa Melayunya ‘syaitan’. Perlu juga
diberi perhatian bahawa pemimpin seperti itu mungkin mempunyai pengikut
taksub dan jika ‘dipetik’, mungkin ‘api’ akan menyala ke serata negara.
Bila perkara sebegitu berlaku, siapakah yang akan susah? Sudah tentulah
Ketua Polis Negara! Jadi, tepatlah keputusan Ketua Polis Negara untuk
menarik balik kebenaran forum berkenaan dari terus berlangsung. Dari
berdepan risiko yang mengancam sensitiviti agama, lebih baik cegah
sebelum ‘parah’.
Siapa kata Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri tidak menghargai dan
memandang tinggi pada tokoh ilmuan seperti Dr Zakir Naik? Jika tidak
suka pada beliau, takkanlah Malaysia beri anugerah Tokoh Ma’al Hijrah
pada Dr Zakir pada tahun 2013? Siapa Perdana Menteri pada tahun 2013
agaknya?
Lagipun, cuba lihat apa yang berlaku di Stadium Tertutup Gong Badak,
Terengganu, baru-baru ini. Ada sebarang kejadian yang tidak diingini
berlaku di sana? Bertajuk ‘The Importance of Unity Among Muslim Ummah’,
ada yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak?
Jika ada sedikit ‘scene’ pun di Terengganu, hanyalah melibatkan soalan
dari seorang pelajar perubatan yang mungkin ‘baru belajar untuk
berfikir’. Itu pun cukup menarik ‘disekolahkan’ Dr Zakir hingga
tergagap-gagap dibuatnya. Biasalah adik-adik ‘baru belajar kenal dunia’…
Pada pandangan penulis, Dr Zakir adalah amat dialu-alukan di negara
kita. Kita juga amat memerlukan tokoh seperti beiau yang lebih
mementingkan perpaduan dan daya intelektual ummah berbanding terlalu
taksub pada agenda pemimpin politik dan perkara yang tidak berfaedah.
Cuma, kita juga selaku umat Islam dianjurkan supaya tahu budaya dan daya
intelektual di negara kita tidak sama rata. Ada yang boleh terima dan
ada yang tidak. Ada yang mengalu-alukan, ada yang belum apa-apa lagi
sudah tanam persepsi negatif.
Terbina atas kontrak sosial dan jus soli yang disepakati, maka
terhasilkan sebuah perlembagaan persekutuan yang menjadi salah satu
elemen penting pembinaan sebuah negara yang bernama Malaysia.
Kerana menggugat kontrak sosial dan jus soli pada 1969 dulu, maka
berlakunya peristiwa 13 Mei yang menjadi peristiwa hitam dalam sejarah
negara. Kerana tidak mahu perkara seperti itu berlaku semula, maka
kerana itulah semua pihak perlu faham tentang ketegasan Ketua Polis
Negara dalam hal ini.
Bukan beliau mahu tunjuk kuasa, bukan berniat untuk menafikan sesiapa,
namun ia lebih menjurus ke arah kebaikan bagi semua pihak. Jika UTeM
selaku penganjur dan Dr Zakir Naik sendiri memahami hal ini dan akur,
kenapa tidak rakyat Malaysia terima dengan hati yang terbuka?
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment